Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) komited untuk melaksanakan program dan inisiatif yang menyumbang kepada dasar serta sasaran yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Kanannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memastikan kementeriannya akan terus berusaha untuk mengangkat martabat negara bagi mencipta kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Kata beliau, pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, peningkatan pelaburan dan perdagangan serta penciptaan pekerjaan yang berkualiti adalah agenda utama MITI untuk menjamin pengagihan yang adil dan saksama sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Justeru, katanya, MITI akan mengambil perhatian serius setiap pandangan dan cadangan dikemukakan bagi memastikan pemulihan ekonomi negara akan lebih rancak dan kekal mampan.

Menggulung perbahasan berkaitan usaha MITI, beliau menyatakan, Malaysia mengambil pendekatan compare and offer dengan melaksanakan dasar komprehensif, jelas dan konsisten.

Ini katanya, berkaitan dengan rantaian bekalan industri ekosistem kenderaan elektrik (EV) yang memberi galakan dalam meningkatkan penggunaannya, manakala, pesaing serantau memberi tumpuan insentif hanya kepada Original Equipment Manufacturers (OEM).

“Pada masa ini, kerajaan menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan kenderaan EV, pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.

“Antara insentif yang dinikmati oleh OEM adalah Taraf Perintis, Elaun Cukai Pelaburan serta pengecualian Duti Import dan Eksais.

“Melangkah ke hadapan bagi mempertingkatkan pelaburan dan permintaan dalam industri EV, kerajaan sedang mengenalpasti strategi baharu yang melibatkan penawaran pakej insentif yang merangkumi insentif untuk menggalakkan penggunaan EV oleh rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen hari ini.

Katanya, usaha itu sejajar dengan dasar pelaburan baharu negara berlandaskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang memberi fokus kepada usaha menarik pelaburan yang mempunyai tahap kompleksiti ekonomi yang tinggi dan berteknologi maju serta memenuhi kerangka Environmental, Social and Governance (ESG).

Menurut beliau, kementeriannya juga sedang memperhalusi cadangan pakej insentif untuk menggalakkan penggunaan EV yang antara lain pengecualian cukai jalan, pengecualian cukai pendapatan kepada individu yang memasang stesen pengecas EV dan juga insentif kepada pembeli EV melalui pelepasan cukai pendapatan.

“Malaysia berjaya menarik pelaburan daripada SK Nexilis, Republik Korea bernilai RM4.3 bilion untuk mengeluarkan kerajang tembaga yang digunakan bagi penghasilan bateri EV.

“Industri ini dibangunkan di Sabah yang akan membuka peluang pekerjaan baharu berteknologi dan berkemahiran tinggi.

“Pelaburan SK Nexilis ini merupakan yang pertama di luar Republik Korea dan ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang unggul dalam industri EV,” katanya.

Katanya, semua inisiatif itu dilihat mampu menyumbang ke arah merealisasikan hasrat kerajaan bagi menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

Menjawab persoalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (PH), Mohamed Azmin berkata, salah satu fokus kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara adalah pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka serta mesra perniagaan.

Ini ujarnya, termasuk meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Perjanjian perdagangan bebas ini akan berupaya mempertingkat pasaran eksport bagi produk tempatan melalui pengurangan atau penghapusan duti import di pasaran rakan dagang serta pengurangan halangan bukan tarif.

“Keadaan ekonomi dunia yang semakin pulih telah memberikan impak positif kepada prestasi perdagangan negara dengan jumlah perdagangan bulan Ogos 2021 meningkat 15.7 peratus kepada RM169.8 bilion berbanding Ogos 2020.

“Sejak Februari 2021, jumlah perdagangan merekodkan pertumbuhan dua digit untuk tujuh bulan berturut-turut.

“Eksport merekodkan peningkatan 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion. Import berkembang 12.5 peratus kepada RM74.2 bilion. Lebihan dagangan melonjak 44.7 peratus kepada RM21.4 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan, menurut laporan Bank Negara, unjuran pertumbuhan eksport 2021 adalah pada kadar 8.2 peratus dan peningkatan eksport akan didorong terutama oleh peningkatan permintaan luar dari rakan dagang utama Malaysia seperti ASEAN, Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette