Foto Facebook PJ City FC.

KUALA LUMPUR – Dua kali terkandas di peringkat kumpulan pada musim 2018 dan 2019, PJ City FC berharap mereka mampu melayakkan diri ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam sejarah pertandingan Piala Malaysia.

Hasrat itu diluahkan ketua pasukan PJ City, K. Gurusamy yang mahu percubaan kali ketiga mereka akan membuahkan kejayaan selepas berjaya mempamerkan aksi bertenaga pada dua perlawanan pertama Kumpulan D TM Piala Malaysia 2021.

Biarpun sekadar meraih satu mata selepas seri 1-1 dengan Sabah FC dan tewas tipis 0-1 kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Gurusamy berasakan peluang masih terbuka bagi mereka mencari slot ke suku akhir.

“Jika dilihat kepada pasukan dalam kumpulan kami, saya rasa PJ City ada peluang untuk ke suku akhir dengan JDT sudah semestinya jadi pilihan utama untuk layak berdasarkan kualiti pemain serta dua kemenangan yang mereka perolehi setakat ini.

“Saya rasa kami mampu bersaing dengan Sabah dan Kelantan sambil berasakan tahap persaingan Kumpulan D sebenarnya agak terbuka antara semua pasukan biarpun ramai mengatakan kami sebagai pasukan pilihan untuk iringi JDT.

“Kami sama sekali tidak boleh memandang rendah Sabah yang saya rasakan masih sebuah pasukan berkualiti sementara Kelantan mempunyai tradisi tersendiri dalam Piala Malaysia.

“Memandangkan PJ City ini adalah 100 peratus terdiri daripada pemain tempatan, maka kami kena berikan fokus pada tahap dua kali ganda kerana semua orang tahu di Piala Malaysia, semua pasukan biasanya akan berhabis-habisan untuk peraga aksi terbaik, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

PJ City yang sebelum ini dikenali nama MISC-MIFA , layak buat pertama kali pada saingan Piala Malaysia pada musim 2018 namun hampa di perlawanan terakhir apabila tewas 0-3 kepada JDT serta dipintas oleh Kelantan bagi sekadar menamatkan cabaran di tempat ketiga kumpulan.

Skrip sama terjadi musim berikutnya selepas dijenamakan kepada PJ City, apabila tewas 0-3 kepada PKNP FC dan sekali lagi mereka di tempat ketiga kumpulan di belakang JDT serta PKNP.

Mereka bakal bertemu Kelantan FC pada perlawanan ketiga yang dijadualkan pada 29 Oktober di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam misi mencari kemenangan sulung pada kempen TM Piala Malaysia 2021.

Dalam masa sama, Gurusamy gembira kehadiran semula penyerang utama, Darren Lok yang memberikan kekuatan tambahan di bahagian serangan setelah berehat lama ekoran masalah kecederaan.

Tidak merendahkan sumbangan pemain-pemain lain seperti Khyril Muhymeen, Mahalli Jasuli, V. Ruventhiran,R. Kogileswaran dan Sunil Chandran yang sentiasa membantu jentera serangan, dia mengakui Darren mempunyai kelebihan dari segi fizikal bagi membantu jentera serangan PJ City.

Penyerang kacukan England-Malaysia itu turut menjaringkan satu gol semasa berdepan Sabah pada perlawanan pembukaan Kumpulan D bagi memastikan PJ City meraih satu mata apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1.

“Sejak kehadiran Darren, kami boleh lihat banyak peningkatan dalam usaha kami mendapatkan jaringan kerana dia memberikan kekuatan fizikal yang diperlukan.

“Sebelum ini, mata kami banyak dibantu oleh kekuatan pertahanan selain kecemerlangan Kalamulllah di posisi penjaga gol selepas kami berjaya dapat jaringkan satu gol atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri apabila Darren cedera dalam kebanyakan perlawanan Liga Super.

“Pemain-pemain lain seperti Khyril dan Mahalli terutamanya banyak membantu sebelum ini cuma dengan kembalinya Darren, saya rasa itu telah memberikan keyakinan tambahan kepada kami semasa melakukan serangan, ” katanya. – MalaysiaGazette