Mohd Mahidisham

KUALA LUMPUR – Gara-gara percaya kata-kata ‘pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)’ kononnya mempunyai tunggakan cukai pendapatan yang perlu dijelaskan, seorang eksekutif syarikat multinasional terperangkap dalam jerat sindiket penipuan Macau Scam.

Akibatnya, wang simpanannya berjumlah RM1.3 juta telah dilesapkan pegawai LHDN palsu itu sejurus selepas menyerahkan maklumat akaun peribadinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pada 5 Oktober lalu,  pihaknya telah menerima satu aduan daripada seorang eksekutif sebuah syarikat multinasional.

“Dalam kes tersebut, pada 3 September lalu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun telah dihubungi oleh seorang “pegawai LHDN” yang mendakwa kononnya sebuah syarikat didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai tidak berbayar berjumlah RM17,600.76.

“Mangsa kemudian telah diminta oleh suspek untuk mendedahkan maklumat akaun peribadi dan menyerahkan One Time Password (OTP) supaya wang tersebut dipindahkan ke akaun “Bank Negara”.

“Selepas tindakan itu, mangsa mula mengesyaki sesuatu tidak kena sebelum menyedari bahawa terdapat transaksi pindahan wang daripada beberapa akaun miliknya membabitkan jumlah RM1.3 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Mahidisham, mangsa yang terkejut dengan kehilangan wang miliknya dari akaun kemudian membuat semakan di LHDN.

Ujarnya, ketika itulah mangsa menyedari sebenarnya tiada sebarang siasatan dijalankan ke atas dirinya seperti didakwa ‘pegawai LHDN” terbabit.

“Mangsa yang kesal dirinya tertipu dan kehilangan wang simpanannya segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kes ini melibatkan kerugian berjumlah RM1.3 juta dan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu bagi tindakan siasatan selanjutnya.

“Siasatan mendapati penipuan ‘Macau Scam’ sebenarnya menyasarkan mangsa-mangsa mereka dengan cara menakut-nakutkan dengan tindakan siasatan oleh pihak berkuasa dan memaksa mangsa untuk mendedahkan maklumat akaun peribadi mereka sebelum melesapkan wang simpanan mereka yang agak lumayan,” ujarnya.

Bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 September tahun ini, katanya, JSJK Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 442 kertas siasatan membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM 20.5 juta.

Mohd Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menerima panggilan seumpama menerusi telefon.

“Bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan ‘Macau Scam’, polis menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan butir-butir terperinci pihak berkuasa yang berhubung sebarang siasatan seperti nama dan pangkat pemanggil, serta tempat bertugas mereka.

“Kemudian sila membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi dan jangan mendedahkan maklumat akaun dan OTP atau TAC kepada mana-mana pihak ketiga melalui panggilan telefon,” katanya.

Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.-MalaysiaGazette