The Seri Negeri in Ayer Keroh, Melaka. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 05 OCTOBER 2021. Melaka state election vote
Bangunan Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2021.

MELAKA – Penduduk Melaka berpendapat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak wajar dilakukan pada ketika ini.

Ini kerana mereka khuatir proses Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal mengundang risiko penularan Covid-19.

S Gopal

Bagi pesara, S Gopal, 55, yang tidak bersetuju pembubaran DUN dilakukan dan berharap pilihan raya hanya dilakukan setelah tamat penggal.

“Kenapa nak bubar sekarang. Kes di Sabah naik selepas PRN.

“Kenapa buat rakyat macam ni, kes baru turun bawah 10,000,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya PRN Melaka diadakan nanti, kemungkinan kes Covid-19 boleh bertambah dan akan merisikokan orang ramai.

“Bagilah pada sesiapa dulu pegang jawatan ketua menteri buat sementara, jangan jadikan rakyat mangsa,” katanya lagi.

Zainal Mohd Som

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Zainal Mohd Som, 50,  berkata, cerita politik yang menjadi bahan bacaan harian benar-benar meletihkan rakyat.

“Hari-hari ada sahaja cerita orang politik kita. Kami penat. Sekarang dah bubar DUN pula.

“Kerja kami mengundi, kemudian mereka bergaduh lagi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.

Namun, katanya, jika rakyat Melaka sudah ditetapkan untuk mengundi, tiada apa yang boleh dicakapkan lagi.

Tidak hanya itu, perkara sama turut diakui anak muda Melaka yang merasakan keadaan politik hari ini memberi impak kepada peniaga dan golongan muda.

Zulaika Samsul

Bagi Zulaika Samsul, 22, keadaan politik yang tidak menentu membuatkan anak muda muak ditambah pula perlu keluar mengundi lagi.

“Anak muda kena mengundi, tapi pada masa ini rasanya bukan masa sesuai. Tapi, jika keadaan dah mendesak, nak tak nak kenalah mengundi,kan.

“Harapnya orang politik memikirkan juga nasib kami orang muda dan juga peniaga di Melaka ni. Terlalu banyak prosedur operasi standarr (SOP) yang berubah-ubah, kami pun pening,” katanya.

Katanya lagi, walau siapa pun kerajaan memerintah, nasib peniaga dan anak muda tidak harus dipinggirkan.

Idris Md Nor

Pesara kerajaan, Idris Md Nor, 56 juga terkejut  apabila mendapat tahu kerajaan Melaka dibubarkan.

“Baru sahaja kerajaan ni memerintah, dah kena mengundi lagi ke?

“Kalau dah kena mengundi, nak buat macam mana kan, cuma terkejut juga apabila kena mengundi lagi waktu sekarang ni,” katanya.

Jelasnya, tugas sebagai rakyat akan membuang undi dan memilih tetapi mereka yang dipilih harus menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya.

“Saya tak tahu apa masalah, tapi kami rakyat di bawah ni rasa ok saja, tak nampak ada masalah yang berlaku.

“Ada perubahan di Melaka ni sejak kerajaan bertukar ni, jalan banyak yang ok, semua pun dijaga dengan baik. Tak tahu pula kalau ada yang kurang,” katanya lagi.

Johny Yap

Bagi Johny Yap, 44 yang berniaga sendiri berharap apa juga yang jadi, kerajaan baharu tidak akan mengabaikan rakyat.

“Kena undi lagi pun saya terkejut. Tapi tak apalah, itu sudah wajib bagi rakyat kan. Sekarang ni waktu tak bagus mengundi, tapi kalau tak ada ketua pun susah nanti.

“Nak tak nak kami kenalah balik kampung mengundi,” kata anak jati Bachang ini.

Semalam Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas berkuatkuasa 4 Oktober 2021.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan selepas bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutus surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka kelmarin. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. sepatutnya mengikut undang-undang, jawatan Ketua Menteri dah takde secara automatik setelah kehilangan majoriti…. hairan nya, bagaimana Ketua Menteri boleh nasihat TYT untuk bubar…. masa Sabah, tiada hilang majoriti lagi dah mohon bubar…. ikut kes Perak masa YB Nizar, bila dia dah hilang majoriti, dia takde hak/kuasa nasihat Sultan bubar ketika itu… main ikut undang-undang sendiri ke ape…

Comments are closed.