Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan desakan pembangkang supaya Yang di-Pertua, Datuk Azhar Azizan Harun memberi laluan untuk membahaskan isu Panama Papers yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, beliau mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan Malaysia khususnya membincangkan isu itu kerana melibatkan ratusan bilion ringgit dibawa keluar secara tidak sah.

Kata Ketua Pembangkang itu, beliau membangkitkan perkara itu pada 2012 lagi di Parlimen, tetapi mendakwa, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jawapan umum, tidak ada siasatan atau tindakan dari kerajaan.

Jelas beliau, perkara sama juga dibangkitkan pada 2015 dan dalam sesi persidangan hari ini, beliau mahu isu berkenaan dibahas.

“Saya tahu, saya tidak akan popular apabila membangkitkan isu ini kerana ia melibatkan tokoh besar negara, orang kaya dan billionaire. Kalau saya kemukakan juga, saya ada kemungkinan berdepan dengan risiko.

“Risikonya ialah mungkin hilang pengaruh, hilang bantuan kewangan dan tidak akan disokong apa-apa jawatan, tetapi saya sanggup ambil risiko ini kerana negara dan Parlimen tidak boleh dilayan seperti ini.

“Hal yang melibatkan ratusan bilion ringgit dibawa keluar tidak boleh disiasat, kami tidak boleh terima,” katanya ketika mencelah antara sesi usul kerajaan pada persidangan Parlimen tengah hari ini.

Anwar berkata, skandal Panama Papers sangat kritikal bagi Malaysia, memandangkan negara lain seperti Pakistan, India, Mexico, Sepanyol, Brazil, Sri Lanka, Australia dan Panama setakat ini telah mengumumkan penyiasatan terbuka bagi kehilangan wang negara masing-masing.

Di Malaysia, tegasnya, laporan dari Global Financial Integrity menunjukkan wang yang dibawa keluar tidak mengikut saluran sah, yang mencecah sehingga RM900 bilion, tetapi BNM memberi kenyataan umum tidak ada siasatan.

“Kita tidak mahu menghukum siapa (nama) yang disebut, dia boleh bagi penjelasan, tetapi kalau ratus juta hilang dan kita tidak beri ruang kepada orang berkenaan untuk siasatan, negara akan lingkup

“Perdana Menteri yang nak jaga kestabilan politik, ketelusan, kemampanan ekonomi negara, bagaimana boleh diam bila ratusan juta ringgit dibawa keluar secara cara haram dari negara ini

“Kes ini melibatkan banyak nama, saya bukan sebut Ahli Parlimen UMNO dan PPBM saja, saya juga sebut Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH), dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mereka boleh beri penjelasan,” katanya.’

Sementara itu, Azhar Azizan ketika menjawab celahan Anwar memberitahu, usul itu bersifat dirundingkan, maknanya tidak boleh dibuat apa-apa ketetapan, selain hanya boleh dirundingkan sahaja.

Katanya, sama ada boleh dibenarkan atau tidak usul itu, beliau terpaksa buat keputusan mengenai tiga elemen iaitu ianya berkepentingan awam, hendaklah disegerakan dan sesuatu perkara yang tertentu.

“Saya bersetuju dengan Port Dickson, bahawa perkara itu ialah perkara yang tertentu dan berkepentingan awam dan saya bersetuju sekali lagi bahawa perkara itu adalah perkara penting dan perlu disiasat.

“Tetapi masalahnya, saya dapati ianya tidak perlu disegerakan kerana persidangan kita ini didahulukan dengan urusan aturan mesuarat. Maksudnya, apabila aturan urusan mesyuarat itu kita hendak ketepikan, maka sesuatu perkara yang hendak dibawa itu mestilah perlu disegerakan.

“Walaupun perkara itu penting atau teramat penting, tidak semestinya ia perlu disegerakan,” katanya.

Malah, katanya, perkara berkaitan Panama Papers itu merupakan perkara berterusan dan boleh dibangkitkan pada bila-bila masa sahaja, contohnya, menerusi soalan menteri atau soalan jawab lisan.

Mengenai siasatan terbuka pula, beliau memaklumkan kepada Anwar agar mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Penjelasan beliau itu menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang iaitu Abdul Khalid Samad (PH-Shah Alam) dan Hannah Yeoh (PH-Segambut). – MalaysiaGazette