IPOH – Perak tidak akan menolak ‘arus rentas negeri’ sebaliknya bersedia menerima kehadiran pelawat dan pelancong sebagaimana hasrat kerajaan untuk membenarkan kelonggaran tersebut apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata pihak berwajib termasuk pihak berkuasa tempatan dan pemain industri pelancongan akan bersiapsiaga dalam mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 sebaik kelonggaran rentas negeri dilaksanakan.
“Dalam mesyuarat (mesyuarat kerajaan negeri) hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi ada bangkitkan mengenai perkembangan ini khasnya yang berkaitan pelancongan.
“Kita tidak boleh tolak kehadiran orang ramai namun tidak bermakna mereka akan terus bebas. Mesyuarat hari ini bersetuju agar semua pihak terlibat mementingkan pematuhan SOP bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri di sini hari ini.
Baru-baru ini, Nolee Ashilin dilaporkan berkata SOP untuk gelembung pelancongan ke Pulau Pangkor dalam peringkat penyediaan dan dijangka siap minggu depan dengan draf SOP tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk disemak sebelum pulau peranginan itu boleh dibuka kembali kepada pengunjung.
Setakat semalam, kadar lengkap 90 peratus vaksinasi COVID-19 populasi dewasa merekodkan jumlah 88.4 peratus.
Menurut laman COVIDNOW, sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus rakyat berumur 18 tahun ke atas telah lengkap menerima vaksin COVID-19.
— BERNAMA