Mak Kah Keong

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menggesa kerajaan mengambil tindakan dalam isu taraf kewarganegaraan kanak-kanak.

Setiausaha Agungnya, Mak Kah Keong berkata, pengiktirafan itu penting bagi membolehkan kanak-kanak terbabit mendapat keadilan yang sama rata, seperti warga negara lain.

“Kesan daripada isu ini membuatkan kanak-kanak itu susah masuk sekolah, banyak sekolah tak terima, kemudahan awam tak boleh guna, pergi hospital kerajaan kena bayar,” katanya pada sidang media di Menara PGRM, Cheras, di sini, hari ini.

Tambah beliau, parti itu menerima 343 laporan daripada ibu bapa yang terlibat dalam isu taraf kewarganegaraan kanak-kanak.

Antara isu yang menjadi persolan ialah anak dilahirkan ibu bukan warganegara tanpa perkahwinan tidak mendapat status warganegara sedangkan laporan DNA mengesahkan hubungan ibu dan anak itu.

“Kenapa ibu yang bukan warganegara tanpa perkahwinan, anak yang dilahirkan itu tidak dapat warganegara walaupun ada laporan DNA, banyak kes dibawa tapi mahkamah tolak permohonan,” ujarnya

Beliau yang kesal dengan kekangan undang-undang sedia ada mencadangkan pindaan dilakukan terhadap akta berkaitan.

“Gerakan cadangkan Seksyen 17 harus dipinda dengan menerima pakai ujian DNA sebagai bukti bahawa anak tersebut hasil daripada bapa kandung atau biological father, dengan teknologi terkini itu sudah cukup,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast