KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar atau lebih dikenali dengan nama Dira mengakui wujud gerakan yang dirancang sekian lama untuk menjatuhkan kerajaan Negeri Melaka.
Beliau berkata, perkara itu sudah didengarinya namun tidak menyangka ia berlaku dalam masa keadaan Covid-19.
“Pada minggu lalu, ada yang sudah berbisik-bisik mengenai ini tapi saya hanya menyangkakan ia hanya propa (tipu) dan lebih kepada strategi politik.
“Selepas berita penarikan sokongan pada Isnin lepas oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), baharulah saya percaya ini memang benar-benar berlaku,” katanya ketika menjadi tetamu program bual bicara SKOP MG malam ini.
Dira berkata, gerakan itu telah dirancang penuh teliti dengan mengambil kira beberapa faktor.
“Bagi saya ini adalah gerakan yang dirancang bukan dalam jangka waktu tiba-tiba tetapi begitu halus. Mereka yang terlibat pun adalah senior dalam parti, saya pun tak percaya, tapi ini gerakan daripada parti sendiri,” jelasnya.
Dira yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Jasin mendakwa, ramai telah dikaburkan dengan pelbagai versi cerita yang akhirnya komplot tersebut dilemparkan sesama sendiri.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa. Tidak adil kalau nak hukum tanpa siasatan dan perbicaraan. Saya pun bukan sesiapa, untuk mengadili,” katanya lagi.
Barisan Nasional yang kalah dua kerusi di Melaka dengan Pakatan Harapan menjadikan kerajaan Melaka rapuh, dakwanya.
“Apabila kita tak ada kelompok besar untuk mentadbir, inilah yang kita nampak, rapuhnya satu-satu pentadbiran itu,” katanya lagi.
Melaka dihimpit kontroversi apabila empat ADUN menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang -BN), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).- MalaysiaGazette