ANKARA – Sebuah pesawat penumpang Kuwait melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Trabzon, Turki berikutan ancaman bom yang dilaporkan kepada ibu pejabat syarikat penerbangan itu, kata para pegawai.

Penerbangan Jazeera Airways dari Kuwait dengan 51 penumpang dan enam kru mendarat di Trabzon dan semua penumpang dikeluarkan daripada pesawat, kata Gabenor Trabzon, Ismail Ustaoglu kepada wartawan.

Pemeriksaan dilakukan ke atas pesawat tersebut dan bagasi penumpang, lapor AP.

Ustaoglu berkata, ancaman yang diterima itu tidak dikhususkan kepada pesawat yang mendarat di Trabzon.

Pesawat tersebut dilencongkan ke Trabzon sebagai langkah berjaga-jaga, selari dengan peraturan penerbangan antarabangsa.

Ia akan menyambung perjalanan apabila bagasi diperiksa, tambah beliau

Di Kuwait, Jazeera Airways berkata, ia menerima ‘komunikasi yang menyatakan terdapat potensi berkaitan keselamatan’.

“Komunikasi ini telah dinilai dan disifatkan tidak boleh dipercayai,” kata syarikat penerbangan itu menerusi akaun Twitter sambil menambah, imbasan tambahan dilakukan ke atas semua penerbangan sebagai langkah berjaga-jaga. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast