KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kedai perabot ditemui mati disyaki dibunuh dengan kesan tetakan pada anggota badannya di dalam bilik sewanya di Taman Serdang Utama dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, mangsa dijumpai dan keadaan terbaring dengan kesan darah pada kepala dan badan di sebuah bilik kecil bersebelahan bilik tidurnya.
Polis juga menemui beberapa kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan, dan kedua-dua belah lengan si mati, katanya sambil menambah pihaknya menerima panggilan mengenainya pada pukul 6.07 petang.
Polis menemui mayat seorang pekerja kedai perabot di sebuah bilik sewa di rumah papan, disyaki dibunuh dalam kejadian petang semalam di Taman Serdang Utama, Kampung Baru Seri Kembangan.Gambar:Kumara Sabapatty,Tambah Anbalagan, siasatan awal polis di lokasi telah mendedahkan si mati, seorang lelaki bujang berumur 43 tahun dan tinggal berseorangan menyewa di bilik rumah tersebut sejak lima tahun lepas.
Menurutnya, si mati bekerja di sebuah kedai perabot di kawasan itu sejak 20 tahun lepas.
“Pasukan Forensik IPK Selangor dan Unit Anjing Pengesan K9 PDRM telah diturunkan ke lokasi kejadian dan membantu membuat siasatan di tempat kejadian.
“Namun setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan polis dan usaha mengesan suspek dipergiatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Rozairy di talian 011-1122 8545.
Dalam pada itu MalaysiaGazette yang berada di lokasi sejak 11 malam tadi mendapati pasukan CSI Forensik PDRM dan juga skuad Anjing K9 terlibat dalam siasatan di rumah si mati selama beberapa jam.
Mayat simati kemudian dibawa keluar sekitar pukul 2.16 pagi tadi sebelum dibawa ke dalam trak polis untuk menghantar ke Hospital Serdang bagi bedah siasat. – MalaysiaGazette