KUANTAN – Seramai 301 guru di Pahang masih belum menerima vaksin, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Rosli Abdul Rahman

Katanya, guru terbabit diberi tempoh sehingga 1 November depan untuk berbuat demikian, seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tambah beliau, guru yang gagal melengkapkan vaksin selepas tempoh masa yang diberikan itu akan berdepan tindakan tatatertib .

“Sehingga kini program vaksinasi dalam kalangan guru di Pahang mencapai 98.38 peratus manakala 99.04 peratus dalam kalangan kakitangan bukan guru.

“Menjelang 1 November depan, JPN Pahang menjangkakan bilangan penerima vaksin dalam kalangan guru di negeri ini akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Pemuafakatan Antara Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan JPN Pahang Bdi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Sementara itu Rosli berkata, sebanyak 80.6 peratus pelajar sekolah berusia 12 tahun di Pahang telah menerima vaksin.

“Manakala bagi pelajar 13 hingga 15 tahun mencapai 84.36 peratus dan pelajar berusia 16 hingga 17 tahun  pula sebanyak 86.55 peratus.

“Berdasarkan pelan vaksinasi remaja, PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) di Pahang telah mencapai sebanyak 85.21 peratus,” – MalaysiaGazette