Nik Saiful Adli Burhan
Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) terkejut dan memandang serius dakwaan beberapa pelajar dikatakan mengalami tekanan sehingga terpaksa berhenti daripada menjalani latihan industri di syarikat tertentu.

Naib Presidennya, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, lebih mengejutkan apabila pelajar itu mengakui mereka diperlakukan seperti hamba.

Katanya, GPMS memandang serius isu itu terutama apabila melibatkan latihan industri yang menjadi transisi seorang pelajar daripada alam pengajian kepada dunia kerjaya.

“Tidak dinafikan kecekalan dan ketahanan seorang pelajar perlu diuji bukan sahaja melalui peperiksaan di bilik darjah, tetapi juga melalui ujian sebenar apabila memasuki alam pekerjaan.

“Namun, ianya bukan suatu tiket untuk majikan mempergunakan pelajar dalam latihan industri dengan cara yang tidak sewajarnya.

“Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya menghadapi latihan industri, pemilihan tempat industri bukan sahaja dipilih oleh pelajar mengikut kesesuaian bidang pengajian, tetapi mengambil kira bayaran gaji atau elaun yang bakal diterima,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah media yang melaporkan, terdapat mahasiswa yang tertekan dan berhenti menjalani latihan industri di syarikat tertentu kerana mendakwa diperlakukan seperti hamba.

Terdapat juga syarikat memberikan elaun yang rendah kepada mahasiswa dan lebih teruk apabila dipaksa bekerja seperti pekerja am tanpa sebarang upah.

Seorang pelajar mendedahkan, sepanjang pengalaman selama empat bulan menjalani latihan industri, majikan memberi tugasan yang lari daripada skop kerja sepatutnya.

Menurut Nik Saiful, pelajar terbabit bukan mahu hidup mewah dengan elaun latihan industri, tetapi sekadar menjalani latihan tanpa membebankan ibu bapa dengan kos tambahan.

“Ini mengambil kira juga kos dihadapi pelajar seperti pengangkutan, tempat tinggal dan kos yang dihabiskan sepanjang menjalani latihan industri.

“Ada juga pelajar terpaksa menjalani latihan industri di tempat tidak kena dengan bidang pengajian semata-mata kerana mahukan insentif elaun yang menarik di tempat tersebut.

“Keadaan ini sebenarnya akan mengubah tujuan asal latihan industri seterusnya latihan tersebut tidak akan mencapai matlamat sebenar. Yang akan rugi ialah pelajar,” katanya.

Menurut Nik Saiful, bagi GPMS latihan industri amat penting untuk memberi pendedahan alam pekerjaan sebenar seterusnya menyediakan graduan ke arah bekerjaya.

Kata beliau, ada dua keadaan menjadi perkara pokok selepas latihan industri iaitu kemahuan pelajar melakukan kerja dalam bidang pengajian mereka selepas mengalami dunia industri sebenar dan sejauh mana kemampuannya untuk bekerja dan benar-benar berada dalam industri sebenar.

GPMS mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan khas membantu pelajar yang menjalani latihan industri supaya faktor jumlah upah dan elaun tidak menjadi penghalang untuk mereka belajar menceburi kerjaya mengikut bidang pengajian.

Katanya, jika kerajaan boleh menyediakan subsidi untuk pekerja sedia ada dalam industri melalui Program Subsidi Upah (PSU) dan Penjana Kerjaya, maka GPMS menganggap menaja dan memberi subsidi kepada latihan industri adalah sebahagian daripada pelengkap kepada proses menyediakan rakyat Malaysia yang bekerjaya.

“Melalui cara ini kedua-dua pihak, sama ada pelajar mahupun pihak industri tidak akan tertekan dan bebas menjalankan peranan masing-masing.

“Termasuk memastikan kelangsungan ekonomi dalam waktu yang sukar begini dan seterusnya menjamin penyediaan tenaga kerja tempatan yang lebih berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette