SEBERANG PERAI – Kira-kira 2,000 anggota polis ditugaskan bagi menerima kehadiran puluhan ribu pelancong tempatan yang dijangka mengunjungi negeri ini bermula esok.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, langkah itu diambil sebagai persediaan pihaknya menerima kepulangan perantau serta pelancong selepas kerajaan membenarkan rentas negeri bermula Isnin lepas.
Jelas Fisol, pihaknya juga bersiap sedia daripada segi pengawasan kelancaran trafik di laluan utama bagi memastikan aliran kemasukan kenderaan berjalan lancar.
“Kita tidak tahu jumlah sebenar kehadiran pelancong dan perantau ke negeri ini namun, anggota bertugas akan memberi fokus kepada operasi snap check bagi memastikan setiap individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Selain itu, kita juga akan melakukan pengawasan trafik di kawasan tumpuan termasuk lokasi restoran makanan popular bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Batu Kawan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Fisol berharap setiap individu akan mematuhi SOP memandangkan tiada lagi sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan rentas negeri.
“Kerajaan sudah memberi melonggarkan rentas negeri jadi manfaatkan peluang ini sebaik mungkin dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Selain itu, kelonggaran ini diberikan kepada semua individu yang sudah lengkap dua dos vaksin jadi bagi individu yang belum vaksin, tidak perlulah rentas dan kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang ingkar,” kata Fisol.
Pada Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin menegaska sekurang-kurangnya 50,000 pelancong domestik dijangka mengunjungi Pulau Pinang pada hujung minggu ini selepas rentas negeri dibenarkan di seluruh negara.
Jelas beliau, kesemua pemain sektor pelancongan terutama industri perhotelan, restoran dan sebagainya telah bersiap sedia menyambut kedatangan pelancong ke negeri ini. – MalaysiaGazette