Samsol
MERSING – Penyu dilihat berpotensi dijadikan tarikan pelancong terutama di kepulauan Mersing, memandangkan kesemua 13 pulau di perairan berkenaan telah diwartakan sebagai Taman Laut yang menjadi kawasan pendaratan hidupan liar itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali berkata, majoriti spesis penyu adalah Agar dan Karah yang mana pihak Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) sentiasa giat melakukan konservasi.
Samsolbari selepas hasil lawatan yang diadakan di Pusat Taman Laut Pulau Tinggi, di sini.
Katanya, 20,000 telur penyu disasarkan JPNJ  akan mendarat di negeri ini pada tahun hadapan.
Sejajar dengan usaha itu, JPNJ akan mengeluarkan lebih banyak lesen memindah atau memungut telur penyu sekaligus menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk kampung.
“Hampir 200 penyu mendarat di Johor sepanjang bulan April sehingga September setiap tahun. Selama ini kerajaan negeri cuma memperuntukkan sebanyak RM5,000 sahaja untuk membeli telur penyu daripada orang kampung, kemudian ia ditetaskan oleh JPNJ.
“Justeru itu, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi tujuan konservasi penyu ini.
“Jadi kita bukan sahaja dapat mempertahankan konservasi penyu, tetapi juga sumber pendapatan baharu penduduk kampung dengan membeli telur itu daripada mereka,” katanya memaklumkan hasil lawatan beliau ke Pusat Taman Laut Pulau Tinggi, minggu lalu.
Turut menyertai lawatan itu ialah Pengarah JPNJ Zainudin Abd Wahab.
Samsolbari berkata, JPNJ juga akan terus mempergiat usaha dalam memupuk hubungan baik dengan penduduk kampung untuk menjadi mata dan telinga mereka dalam usaha memastikan hidupan liar di lautan itu terus datang ke kepulauan Mersing.
Kerajaan negeri menjangkaka  sekurang-kurangnya 80 pemegang lesen pada tahun hadapan.-MalaysiaGazette