Semua pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus menjalani ujian calitan oleh petugas KKM di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Kira-kira 6,500 penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) kembali ke kampus  bermula hari ini secara berperingkat melibatkan pelajar di luar Pahang termasuk di Borneo dan pelajar antarabangsa.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati sebelah pagi, pelajar mula memasuki kampus dengan beberapa kategori pelajar dibenarkan kembali bagi mengikuti kelas secara bersemuka.

Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar (UMP), Haryani Abdullah berkata, proses penerimaan pelajar berjalan lancar dan mereka memberi kerjasama mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Haryani Abdullah

“Seramai 350 pelajar kembali pada hari pertama ini dan akan diikuti seramai 1, 200 yang dijangka pulang pada hari Sabtu dan Ahad ini.

“Kemudian kemasukan berperingkat  fasa satu ini akan dilaksanakan secara berterusan pada  minggu hadapan sehingga 30 Oktober depan membabitkan seramai 6,500 pelajar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Difahamkan kira-kira 400 pelajar dari Borneo juga boleh kembali ke kampus jika mematuhi keperluan dan pihak UMP juga menyediakan kenderaan universiti untuk mengambil pelajar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Bagi pelajar tahun tiga Jurusan Kejuteraan Sivil, Norizwana Mohd Yusof, 25, menyifatkan peluang untuk kembali di kampus perlu dimanfaatkan kerana sudah hampir dua tahun tidak dapat mengikuti kuliah secara bersemuka.

“Bagi saya, agak sukar menjalani pembelajaran secara virtual berbanding bersemuka dan berharap kawan-kawan dapat kembali ke kampus juga mengikuti semester kali ini dengan jayanya,” katanya.

Siti Nur Shafikah Mohd Mohtar

Manakala bagi Siti Nur Shafikah Mohd Mohtar, 25 yang merupakan pelajar akhir Kejuteraan Sivil bersyukur dapat kembali ke kampus setelah belajar lama di kampung halaman di Terengganu.

“Saya dapat dapat menghabiskan pengajian dan mengharapkan kawan-kawan juga dapat mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak universiti,” katanya.

Bagi Fatinah Hanis Zamhari, 22, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda  Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan pula teruja teruja dapat pulang ke kampus setelah hampir setahun.

Ujarnya, ia pengalaman pertamanya membuat saringan Covid-19 dan keputusannya  negatif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast