Gambar hiasan

“KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia berjumlah 59,172 tan metrik pada Ogos 2021 meningkat 21.6 peratus berbanding Julai 2021 (48,645 tan metrik).

China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 43.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Ogos 2021 diikuti Amerika
Syarikat (9.0%), Perancis (8.4%), Turki (3.1%) dan Brazil (2.4%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata,, prestasi eksport produk getah negara disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM3.8 billion pada Ogos 2021, menurun sebanyak 1.4 peratus berbanding Julai 2021 (RM3.9 billion).

Melihat kepada senario perbandingan harga purata bulanan, Lateks Pekat merekodkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus (Ogos 2021: 522.13 sen sekilogram, Julai 2021: 494.38 sen sekilogram) dan sekerap sebanyak 7.7 peratus (Ogos 2021: 590.42 sen sekilogram, Julai 2021: 548.25 sen sekilogram).

Sementara itu, jumlah eksport getah asli mencatatkan peningkatan ketara pada 2021 iaitu 22.7 peratus berbanding pada tempoh sama tahun sebelumnya (2020: -20.9%).

Peningkatan ketara ini sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik berikutan pemulihan dalam perdagangan global dan rangkaian bekalan.

Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) yang meningkat antara 5.5 hingga 5.7 peratus.

GMM 20 merekodkan peningkatan tertinggi 5.7 peratus (Ogos 2021: 717.65 sen sekilogram, Julai 2021: 678.69 sen sekilogram).

Jabatan Perangkaan berkata, pengeluaran getah asli menurun 11.7 peratus pada bulan Ogos 2021 (42,942 tan metrik) berbanding pada bulan Julai tahun yang sama (48,610 tan metrik).

Pengeluaran tahunan juga susut 3.6 peratus berbanding 44,543 tan metrik bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, pengeluaran getah asli Malaysia pada Ogos 2021 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 90.9% berbanding sektor estet sebanyak 9.1%.

Jumlah stok getah asli meningkat 2.3 peratus pada Ogos 2021 kepada 287,380 tan metrik berbanding 280,844 tan metrik pada Julai 2021.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.5 peratus diikuti kilang pengguna getah (8.4%) dan estet getah (0.1%).

Perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan oleh World Bank Commodity Price Data turut menunjukkan harga bagi getah jenis TSR 20 dan SGP/MYS masing-masing meningkat 4.6 peratus (daripada AS$1.63/kg kepada AS$1.71/kg) dan 1.8 peratus (daripada AS$1.87/kg kepada AS$1.90/kg).

Prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia dalam tempoh lapan bulan pertama 2021 mencatatkan penurunan 4.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2020 (Jan – Ogos 2021: 313,180 tan metrik, Jan – Ogos 2020: 326,194 tan metrik).- MalaysiaGazette