GOMBAK – Warga kota mula bergerak pulang ke kampung halaman pada minggu pertama selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri.
Tinjauan Malaysia Gazette di Plaza Tol Gombak mendapati jumlah kenderaan dilihat semakin meningkat dan bertali arus arus sejak pukul 3 petang.
Kebanyakan kenderaan yang melalui plaza tol berkenaan merupakan kenderaan persendirian selain deretan treler dan lori muatan barang.
Aliran trafik juga dilihat lancar tanpa sebarang kesesakan termasuk di laluan bertentangan yang menuju ke Pusat Bandaraya.
Apa yang lebih mengujakan apabila seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki sebuah kereta berwarna hitam dilihat menurunkan sedikit tingkap kenderaannya sambil menyanyikan lagu ‘Balik Kampung’.
Memang tidak dapat dinafikan kelonggaran rentas negeri yang diberikan oleh kerajaan ibarat meniup kembali semangat warga kota untuk terus mengharungi pandemik Covid-19.
Walaupun hanya sekali imbas, jelas terpancar kegembiraan di wajah mereka apabila dapat pulang ke kampung halaman untuk bertemu kedua ibu bapa dan ahli keluarga.
Sementara itu, suasana di hentian rehat dan rawat (R&R) Genting Sempah, Pahang juga kembali meriah dengan kehadiran orang ramai yang singgah untuk menjamu selera dan beristirehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Pantai Timur.
Ruang makan di medan selera juga dilihat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat apabila setiap pelanggan yang ingin menjamu selera perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi masing-masing.
Terdapat seorang kakitangan R&R yang ditugaskan untuk memeriksa setiap pelanggan yang masuk bagi memastikan mereka mengimbas kod pada aplikasi MySejahtera.
Bagaimanapun sehingga pukul 8 malam, tiada kesesakan dilihat berlaku di plaza tol berkenaan mahu pun di kawasan R&R. – MalaysiaGazette