Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Syarikat mega termasuk syarikat sarung tangan di negara ini digesa mengambil langkah serius mengurangkan kebergantungan dan eksploitasi pekerja asing dan lebih banyak menggajikan pekerja tempatan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, waktu ini adalah masa terbaik untuk membuka lebih banyak ruang kepada bakat dan tenaga tempatan.

“Kita tidak seharusnya melihat siri-siri keuntungan besar ini sebagai satu urusan perniagaan dan ekonomi semata-mata. Sebaliknya, ini adalah satu asas dan penunjuk aras penting yang mewajarkan berlakunya beberapa perubahan pendekatan dan amalan perniagaan.

“Kita semua maklum bahawa kebanyakan syarikat yang mencatatkan keuntungan lumayan ini sebahagian besarnya menggunakan hampir keseluruhan pekerja asing untuk beroperasi.

“Menurut pengiraan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), terdapat 71,800 individu yang bekerja dalam industri sarung tangan getah di Malaysia pada tahun 2019,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Daripada jumlah ini, hanya 39 peratus (28,000) adalah warganegara Malaysia. Manakala baki 61 peratus bersamaan 43,800 lagi adalah pekerja asing.

Kata Khaled, dengan kadar permintaan yang semakin meningkat, dijangkakan sektor ini memerlukan kira-kira 25,000 lagi pekerja tambahan.

“Antara perkara positif yang kita dengar sepanjang episod pandemik Covid-19 bermula seawal Januari 2020 sehingga kini adalah betapa syarikat-syarikat mega pengeluar sarung tangan terus menerus mencatatkan keuntungan yang sangat besar.

“Di sebalik cerita kesempitan, kesengsaraan dan penderitaan banyak pihak, kebanyakan syarikat ini dan para pemilik mereka mendapat durian runtuh dan muncul sebagai bilionair baharu negara kita. Sehingga kini mereka semua dijangkakan akan terus merekodkan keuntungan besar berlipat kali ganda untuk tahun-tahun mendatang.

“Ada yang sampai merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam sejarah melepasi syarikat petroleum negara,” katanya.

Menurut Khaled, segala keuntungan lumayan yang dinikmati selama ini harus menjadi pendorong untuk syarikat-syarikat besar immenyumbang kepada negara dengan cara dengan lebih bersepadu.

“Ia harus dilihat sebagai agenda nasional oleh syarikat-syarikat ini. Malah, dalam konteks polisi, tidak pelik kalau ikhtiar mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing ini dilihat sebagai satu bentuk harm reduction policy kepada ekosistem ekonomi Malaysia.

“Kita mungkin tidak boleh menyekat dan mengetepikan pekerja asing sepenuhnya namun sekurang-kurangnya syarikat-syarikat dengan keuntungan ratusan juta ini boleh memulakan langkah untuk mengutamakan pekerja dan bakat tempatan,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast