SEREMBAN – Bekas Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sembilan didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen pada 2018.
Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu selepas Nurulshima Mislan, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Nurulshima didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu ketika bertugas di Pejabat Jabatan Imigresen Negeri Sembilan pada 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Muhammad Syafiq Stewart Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap penyakit Supraventricular Tachycardia (SVT).
“Tertuduh perlu segera dibawa ke hospital apabila penyakit itu menyerang kerana degupan jantung akan berhenti pada bila-bila masa jika tidak mendapat rawatan segera,” kata peguam itu sambil menambah tertuduh juga perlu menanggung empat anak berusia lingkungan sembilan hingga 18 tahun yang masih belajar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali. – Bernama