Seorang petugas memeriksa MySejahtera seorang penuntut yang mendaftar di Kampus UPM hari ini.

KUALA LUMPUR Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi kemasukan semula pelajar ke kampus bagi sesi 2021/2022 bermula hari ini bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran Covid-19 di kampus.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan berkata, UPM telah menggerakkan persediaan bagi menerima kemasukan pelajar ke kampus antaranya penyelarasan data pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus selepas melengkapkan dua dos vaksin, pergerakan pelajar dan persediaan kolej kediaman.

”Oleh kerana pelajar UPM kembali ke kampus secara berperingkat, sesi pembelajaran akan dilaksanakan mengikut fasa yang ditetapkan bagi memudahkan UPM menyelelaras pergerakkan pelajar semasa di kampus,” katanya.

Tambah beliau, bagi fasa 1, dianggarkan seramai 4,000 pelajar akan kembali ke kampus.

Kemasukan bagi kumpulan pelajar yang berkeperluan (latihan klinikal, latihan mengajar, latihan industri yang memerlukan penginapan dalam kampus, pelajar yang perlu menjalankan penyelidikan di makmal, pelajar B40 dan yang memerlukan kemudahan Internet serta persekitaran yang kondusif) bermula 15 hingga 17 Oktober 2021.

Fasa dua kemasukan bagi kumpulan pelajar yang perlu menjalani PdP di makmal (kuliah akan dijalankan secara dalam talian – PdP secara hibrid) bermula 3 hingga 7 November 2021 dan fasa ketiga kemasukan sepenuhnya pelajar ke kampus (kecuali yang belum lengkap dua dos vaksin). PdP akan dilaksanakan secara bersemuka dan hibrid tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat bermula 10 hingga 12 Disember 2021.

Sementara itu, seramai 3,309 pelajar baharu program ijazah sarjana muda mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2021/2022 terdiri daripada 1, 059 pelajar lelaki dan 2, 250 pelajar wanita.

Pendaftaran Kemasukan bagi sesi ini dibuat secara dalam talian.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Alumni) UPM, Prof. Dr. M. Iqbal Saripan berkata, seramai 201 pelajar antarabangsa yang turut mendaftar bagi program ijazah sarjana muda, antaranya dari negara China, Indonesia, Bangladesh, Brazil, India, Saudi Arabia, Yamen dan Somalia.

Antara program yang popular di kalangan pelajar antarabangsa kemasukan kali ini ialah Kejuruteraan, Pertanian, Pentadbiran Perniagaan, Ekonomi, Sains Komputer dan Komunikasi. – MalaysiaGazette