KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membalas tohmahan golongan yang dipercayai antivaksin yang cuba memberi persepsi buruk terhadap beliau.
Menerusi hantaran di media sosialnya, Ahli Parlimen itu tidak menafikan beliau memakai ‘tangkal jin’ di tangan kirinya untuk melindungi dirinya selama ini.
Namun jelas Khairy, beliau memakai ‘tangkal jin’ yang terdiri daripada jenis vaksin Covid-19 yang disuntik oleh rakyat negara ini.
“Salah. Saya guna 4 jenis jin vaccine untuk lindungi Malaysia. Jin Pfizer, AstraZenaca, Sinovac & CanSino,” tulisnya di Instagram miliknya di sini hari ini.
Khairy turut berkongsi tangkap satu kumpulan Whatsapp yang membuat tohmahan sesama mereka dengan menuduh beliau memakai tangkal jin selama ini.
Semalam, Khairy memberitahu, Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat menerima vaksin malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan anti-vaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.
Beliau berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan anti-vaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.
“Kita mungkin tidak akan melaksanakan satu undang-undang Persekutuan iaitu mewajibkan di peringkat negara tetapi saya menggalakkan adalah undang-undang sektoral.
“Mungkin berbunyi sedikit kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin.
“Ini adalah kerana anda sendiri memilih untuk tidak menerima vaksin melainkan anda tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan dan dikecualikan juga dalam sistem MySejahtera tetapi jika sebaliknya, maka memang kami akan susahkan hidup anda,” katanya. – MalaysiaGazette