KUALA LUMPUR – Jangan mempolitikkan isu penularan gambar memaparkan bendera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tergantung di sebuah dewan yang menjadi lokasi mesyuarat Cawangan UMNO Arau di Perlis baru-baru ini.
Itu penjelasan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengakui bendera berkenaan sudah lama dipasang di pekarangan dewan berkenaan sempena lawatan kerja sehari Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri pada 5 Mac lalu.
Bagaimanapun, katanya, pihak pengurusan dewan berkenaan tidak sempat menanggalkannya kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan notis singkat diterima untuk mengadakan mesyuarat UMNO cawangan baru-baru.
“Saya akui gambar bendera Bersatu yang tergantung di dewan tempat berlangsung Mesyuarat UMNO Cawangan itu memang betul, malah kalau dilihat betul-betul bendera Pas ada di situ.
“Sebenarnya bendera UMNO, Pas dan Bersatu sudah lama berada di situ kerana ia digantung sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin ke sini pada bulan Mac lalu.
“Jadi isu ini tidak sepatutnya timbul kerana kita tidak sempat menurunkan bendera Pas dan Bersatu berkenaan kerana dewan berkenaan tidak digunakan sesiapa pun semasa pelaksanaan PKP.
“Selepas PKP berakhir dan hingga sekarang barulah digunakan semula, jadi kita tidak sempat tanggalkan bendera Bersatu dan Pas berkenaan kerana persiapan untuk persidangan berkenaan dilakukan di saat akhir,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan ketika dihubungi PNBBC hari ini.- MalaysiaGazette