KUALA LUMPUR – Agrobank berjaya menetapkan harga bagi Program Sukuk Wakalah berjumlah RM500 juta berdasarkan prinsip Islam Wakalah Bi Al-Istithmar pada 18 Oktober 2021 yang lalu.

Program Sukuk Wakalah itu mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelabur menerusi terbitan sulung Program Sukuk Wakalah berjumlah RM1 bilion selepas mengemukakannya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada bulan Ogos yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, kejayaan ini menjadi suatu kelebihan buat Agrobank, yang mana akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab kewangan Islam global dalam meneraju pasaran modal Islam global.

”Kami sangat berbangga kerana berjaya melancarkan Sukuk Wakalah sulung Agrobank berjumlah RM500 juta pada 18 Oktober 2021, selepas memuktamadkan proses penetapan harga yang menandakan kepentingan pasaran Modal Sukuk Malaysia.

”Permintaan yang tinggi di pasaran bagi instrumen ini membuktikan keyakinan para pelabur terhadap kredit, operasi dan aktiviti perniagaan Agrobaank. Penerbitan Sukuk ini akan membolehkan industri menjana keuntungan menerusi pengurusan kos yang efektif, sekali gus menyediakan penyelesaian peningkatan modal yang dapat mengelakkan kecairan dan penurunan kos modal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, hasil daripada penerbitan Sukuk Wakalah ini akan digunakan untuk keperluan perniagaan am dan modal kerja patuh Syariah.

Agrobank telah memberikan tawaran dwi-bahagian ke pasaran dengan Sukuk lima dan tujuh tahun masing-masing dengan 51 mata asas (bps) dan 49 bps.

Walaupun di tahap persekitaran pasaran yang mencabar, penetapan harga tersebut telah ditutup pada tahap yang sangat kompetitif iaitu 3.63% setiap tahun bagi Sukuk lima tahun dan 3.90% setiap tahun bagi sukuk tujuh tahun.

Penerbitan sukuk sulung ini menyaksikan permintaan yang tinggi daripada pelabur yang terdiri daripada agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat pengurusan aset dan syarikat insurans yang menyebabkan tawaran jumlah langganan yang berlebihan.

Program Sukuk Wakalah telah diberi penilaian AAA oleh Malaysia Rating Corporation Berhad.

Maybank Investment Bank Berhad pula adalah Penasihat Utama Tunggal/Pengatur Utama Tunggal/Pengurus Utama Tunggal bagi Program Sukuk ini. – MalaysiaGazette