KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) berharap pelantikan firma audit bebas untuk melakukan penilaian operasinya terhadap 11 Petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan buruh paksa, seperti yang dinasihati oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) akan diformalkan pada bulan depan.
Menurutnya, FGV telah mengenal pasti juruaudit bebas untuk menjalankan kerja-kerja audit berkenaan dan kini sedang bekerjasama dengan penasihat undang-undang yang berpangkalan di AS untuk memuktamadkan terma dan syarat pelantikan tersebut.
Syarikat perladangan itu berkata, pihaknya komited mengambil semua langkah yang diperlukan untuk membatalkan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan oleh CBP pada 30 September 2020 terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dihasilkan oleh FGV dan anak syarikatnya, serta syarikat usaha sama.
”Dalam memastikan bahawa skop dan metodologi audit memenuhi kehendak dan jangkaan CBP, FGV menjangkakan sedikit kelewatan terhadap pelantikan dan berharap untuk memformalkan pelantikan tersebut pada November 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, FGV akan membuat pengumuman lebih lanjut sekiranya terdapat perkembangan penting mengenai perkara ini.
Perintah itu dikeluarkan CBP susulan penyiasatan yang dijalankan selama setahun membawa pendedahan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup serta kerja berlebihan.
Berdasarkan siasatan yang dijalankan, CBP mendapati buruh paksa kanak-kanak digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV. – – MalaysiaGazette