Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjelaskan fakta-fakta mengenai “pembebasan” Datuk Sreesanthan a/l Eliathamby seorang peguam kanan korporat atas kesalahan dagangan orang dalam.

Menurut SC, Sreesanthan telah bersetuju untuk membuat pembayaran sebanyak RM900,000 sebagai sebahagian daripada Persetujuan Penyelesaian Kawal Selia dengan SC atas kesalahan dagangan orang dalam bagi saham-saham Maxis Communications Bhd, UEM World Bhd dan VADS Bhd.

Susulan penyelesaian ini, SC dengan persetujuan pendakwa raya, telah menarik balik prosiding jenayah yang berkaitan dengan Sreesanthan, dan rayuan terhadap pembebasannya dalam kes lain atas kesalahan dagangan orang dalam bagi saham Sime Darby Bhd.

Penyelesaian ini tidak mempengaruhi proses prosiding sivil yang masih berjalan terhadap Sreesanthan berhubung pemerolehan sebanyak 600,000 saham Worldwide Holdings Bhd antara bulan Jun dan Julai 2006, ketika memiliki maklumat material bukan awam.

Dalam prosiding ini, Sreesanthan didapati bertanggungjawab oleh mahkamah tinggi pada 4 November 2020 dan diperintahkan untuk membuat pembayaran balik kepada SC sejumlah RM1,989,402, penalti sivil sebanyak RM1 juta dan dilarang daripada memegang jawatan sebagai pengarah syarikat tersenarai awam untuk tempoh selama 10 tahun, berkuat kuasa pada 18 November 2020.

Sreesanthan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan ini.

SC berkata, Sreesanthan dikenakan pertuduhan pada bulan Julai 2012 atas kesalahan dagangan orang dalam yang melibatkan saham-saham Sime Darby, Maxis Communications, UEM World dan VADS antara Oktober 2006 dan September 2008, ketika dia merupakan rakan kongsi kanan firma guaman yang terlibat dalam pelaksanaan korporat syarikat-syarikat ini.

Walaupun SC membuat pertuduhan terhadap Sreesanthan pada 2012, perbicaraan hanya dimulakan pada tahun 2019 kerana pada bulan September 2012, Sreesanthan telah mengemukakan permohonan untuk mencabar status keperlembagaan kuasa penyiasatan SC di bawah seksyen 128 dan 134 Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993.

Sreesanthan juga telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan pertuduhan jenayah terhadapnya dan memohon pendedahan keterangan dan dokumen saksi. – MalaysiaGazette