Sulaiman Hussin (kanan) dinobatkan Tokoh Guru Lelaki 2021 di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri Pahang yang ke-20 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Tokoh Guru Lelaki Pahang, Sulaiman Hussin yang dinobatkan hari ini sanggup mencari anak murid ke rumah demi mahu mereka dibekalkan ilmu pengetahuan.

Itu antara cerita komitednya Sulaiman yang kini berusia 83 tahun dan telah berkhidmat sebagai pendidik selama 35 tahun.

Tokoh guru dedikasi tersebut dilahirkan pada 20 Disember 1938 dan memulakan perkhidmatan sebagai guru sandaran pada 1966 di Sekolah menengah Agama Al-Khairiah Temerloh serta bersara pada 1993.

Selepas bersara, beliau memberi khidmat kepada masyarakat dengan menjadi penyelia Masjid di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Chenor, Maran.

Selain itu, beliau merupakan pengasas awal penubuhan Koperasi Guru dan Pegawai Agama Pahang yang dikenali sebagai koGUPA dan kini beliau bendaharinya.

Sulaiman dinobatkan sebagai Tokoh Guru Lelaki sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri Pahang yang ke-20 yang diraikan di Dewan Kompleks Yayasan Pahang hari ini.

Beliau membawa pulang  RM6,000 Pakej Rehlah, hadiah tunai EM25,000, sijil dan hadiah iringan berupa medal dan bakul makanan bernilai RM1,000.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkongsi pengalaman sebagai salah seorang anak murid Sulaiman pada sekitar 1980-an.

“Beliau (Sulaiman) akan cari anak sampai ke rumah bagi menarik minat pelajar supaya pergi ke sekolah selain daripada mengeluarkan duit poket sendiri untuk belanja pelajar.

“Ustaz Sulaiman memang berjasa kepada agama dan sistem pendidikan di negeri ini, seorang guru berdedikasi dan sanggup berpakat dengan ibu bapa untuk memujuk pelajar supaya meneruskan pengajian,” katanya.

Anugerah yang diterima hari ini wajar diberikan kepada ustaz Sulaiman berdasarkan pengorbanannya dan sifat dedikasi sepanjang perkhidmatan.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri memperuntuk sebanyak RM65 juta untuk pembangunan kesemua Sekolah Agama Negeri Pahang.

“Jumlah tersebut melibatkan pembayaran emolumen, prasarana, kontrak makanan bermasa, dan keselamatan dan mencuci bangunan.

“Lebih  8000 pelajar di 18 buah sekolah menengah agama di negeri ini termasuk lima buah sekolah menawarkan Sijil Tinggi Agama Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette