Kampung Baru antara tanah rizab Melayu yang dibangunkan. Gambar hiasan

TANAH Simpanan Melayu atau Tanah Rizab Melayu (TRM) merupakan satu jaminan atau janji dalam pengekalan keistimewaan kepada orang Melayu di Malaysia. Perkara ini merupakan satu tuntutan daripada tujuh wasiat yang telah dinyatakan di dalam Wasiat Raja-Raja Melayu 1957.

Pada awalnya, TRM tertakluk di bawah Enakmen Rizab Melayu (ERM) 1913 yang dikuatkuasakan di negeri-negeri Melayu Bersekutu seperti Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Kemudian, Enakmen ini dimansuhkan dan digantikan dengan
Enakmen Rizab Melayu 1933.

Seterusnya, pada tahun 1935, enakmen tersebut disemak dan diterbitkan semula sebagai Enakmen Rizab Melayu (NMB Bab 142) dan digunapakai sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu contohnya Perlis, Kedah, Terengganu dan Johor mempunyai enakmen rizab Melayu tersendiri mengikut negeri masing-masing.

Pembangunan TRM penting dalam mempertingkatkan taraf ekonomi negara namun keseimbangan terhadap pengekalan TRM harus diperkukuhkan.

Hal ini berikutan berlakunya penyusutan TRM yang dilaporkan menerusi Berita Harian pada 7 September 2018, yang mana hanya tinggal 12 peratus berbanding peratusan berdasarkan ketetapan Raja-raja Melayu yang menghendaki 50 peratus pemilikan TRM dipegang oleh orang Melayu.

Diperjelaskan lagi, keluasan keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung kecuali Pulau Pinang dan Melaka ialah sekitar 12.9 juta hektar dan penyusutan ketara berlaku di Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Justeru itu, usaha-usaha ke arah mengukuhkan pengawalan dalam pengekalan keistimewaan orang Melayu harus dilakukan khususnya dalam menyelesaikan kelemahan tadbir urus TRM.

Antara kelemahannya termasuklah penyimpanan rekod
pembatalan status yang tidak diganti, geran tanah yang belum disahkan, TRM yang dibatalkan dan digantikan tidak diwartakan dengan segera seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Rizab Melayu dan Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan, serta
penyimpanan dan pengurusan rekod dan maklumat TRM yang tidak lengkap dan tidak dikemaskini.

Selain itu, taraf ekonomi dan kuasa beli yang rendah berbanding kaum-kaum lain di Malaysia menyebabkan saiz pemilikan TRM yang dimiliki bersama mengikut syer adalah kecil. Pemilikan saiz tanah yang kecil ini menyebabkan tanah tersebut tidak ekonomik dan akhirnya tidak mampu menjana pendapatan yang sepatutnya.

Hal ini turut mendorong pemilik TRM untuk melakukan urusniaga dengan menjual TRM dan ada juga yang melakukan penjualan haram dengan orang bukan Melayu atas faktor modenisasi dan perniagaan.

Langkah penyelesaian yang efektif amatlah penting dalam usaha mengekalkan TRM di negara ini. Terdapat beberapa cadangan yang bertujuan untuk melindungi dan meningkatkan jumlah TRM.

Antaranya ialah memperketatkan syarat bagi urusniaga
TRM dan pemajuan TRM, pembentukan badan khusus untuk menguruskan TRM, pewujudan database clearing house bagi tujuan penyimpanan data TRM, seterusnya kempen peningkatan kesedaran dan kepentingan terhadap pengekalan dan pengukuhan TRM seperti bengkel, webinar, poster, penyelidikan geran dan sebagainya.

Usaha penambahbaikan lain yang dicadangkan oleh Prof Dr Ismail Omar dalam Berita Harian bertarikh 19 Mac 2020 dengan cara melepaskan nilai terpenjara TRM melalui instrumen wakaf.

Alternatif memajukan TRM dengan kaedah wakaf merupakan satu
pelaburan bijak, memenuhi maqasid khassah dan mampu memberikan pulangan kepada pewakif serta pewaris tanah.

Di samping itu, ianya selari dengan tunjang utama RMK-12 iaitu menjana semula ekonomi negara rentetan dari pasca pandemik.
Dari perspektif peguam, strategi yang dikemukakan seperti dalam artikel Utusan Malaysia pada 19 Oktober 2021, yang ditulis oleh Prof Salleh Buang mencadangkan pemodenan Akta TRM perlu diteruskan dengan terancang dan sempurna.

Hal ini bagi melindungi hak keistimewaan yang dimiliki oleh orang Melayu khususnya. Justeru itu, pelbagai usaha dari segenap sudut harus diperkukuhkan bagi melindungi dan mengekalkan TRM supaya legasi dalam Wasiat Raja-Raja Melayu 1957 masih
dapat dinikmati oleh Generasi Millennial dan Generasi Net.

Dr. Fatin Afiqah Md. Azmi,
Penyelidik Bersekutu Pusat Kajian Harta Tanah (CRES)/ Pensyarah Kanan Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast