KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengkaji kemungkinan menyelaraskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk menampung kekurangan hasil cukai, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Dalam laporannya mengenai Prospek Ekonomi Malaysia Suku Ketiga 2021, institut penyelidikan itu berkata, langkah meneliti semula perbelanjaan amat diperlukan berikutan pinjaman dan mobilisasi hasil berkaitan minyak dan dana amanah awam seperti Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang melibatkan kepentingan generasi akan datang, terus meningkat.
Selain itu, katanya peranan sektor swasta sebagai pemacu utama ekonomi perlu terus diperkukuh.
“Walaupun GST dimansuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan digantikan dengan SST yang tidak dapat meraih hasil yang mencukupi, pengekstrakan politik daripada sumber awam (dividen daripada Petronas, Bank Negara Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan) serta aset milik kerajaan turut digunakan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan yang tinggi,” katanya.
Menurut MIER, dasar monetari akomodatif yang berterusan bukan pilihan yang wajar pada suku tahun akan datang dan ‘dominasi fiskal’ yang berterusan dengan pakej rangsangan yang tidak terhad berikutan ruang fiskal dikekang oleh hasil bukan minyak yang rendah dan asas cukai yang berkurangan.
“Asas cukai yang berkurangan sebahagian besarnya disebabkan pengabaian penstabil automatik dalaman selepas PRU14 untuk pilihan wajar secara empirikal GST berasaskan penggunaan,” katanya.
Di bawah SST, kadar cukai semasa untuk cukai jualan adalah antara lima peratus dan 10 peratus manakala kadar cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus.
Menurut MIER, pengekstrakan politik daripada sumber milik awam, seperti melalui dividen yang tinggi daripada Petronas dan penggunaan sumber semula jadi, seperti balak, perlu dikurangkan, dengan mengambil kira generasi akan datang, ekuiti antara generasi dan kelestarian alam sekitar.
“Matlamat utama ialah kesejahteraan nasional, merangkumi kepuasan dan kebahagiaan kehidupan keluarga, pada masa depan,” katanya.
Dari segi penawaran, katanya pembaharuan struktur dan program penyelarasan jangka panjang perlu diperkukuh, memansuhkan halangan struktur kepada pertumbuhan mampan, rintangan infrastruktur, ketidaksempurnaan pasaran dan gangguan yang menghalang proses pertumbuhan.
“Tumpuan yang lebih baik perlu diberikan kepada penggunaan teknologi baharu, melaksanakan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan, inovasi dan penjanaan idea baharu, melalui peningkatan kemahiran dan mengurangkan penghijrahan tenaga kerja,” katanya. – Bernama