Hadrami Hasil, 11 (tengah) bersama adiknya Humaira Hasil, 9, (kiri) Hawwas Hasil, 6, (dua dari kiri), Hannan Hasil, 3, dan Harraz Hasil, 8 (kanan) yang kehilangan ibubapa akibat jangkitan Covid-19 pada 11 Ogos lalu di rumahnya di Kota Perdana, Seri Kembangan. Foto MOHD ADZLAN, 23 OKTOBER 2021.

SERDANG – “Wan bila umi nak bangun tidur? Lama sangat ibu tidur,” itu soalan yang acap kali diutarakan oleh Hannan Hasil yang tiga tahun.

Hanan merupakan salah seorang daripada lima beradik yatim piatu apabila kedua ibu bapa mereka iaitu Hasil Taha, 46, dan Ida Hariyanie Abdul Razak, 38, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Nenek lima beradik itu, Intan Sulaiman, 63, berkata, terkadang kelihatan kesedihan di wajah cucu-cucunya yang sedar akan pemergiaan kedua ibu bapa mereka.

“Mereka kadang-kadang ada kemurungan juga, pernah menangis. Yang tiga tahun masih menyusu badan, kadang-kadang tercari-cari ibunya dia tanya saya “Wan bila umi nak bangun tidur? Lama sangat ibu tidur.

“Dia memang tidak tahu uminya tidak ada tapi dia tahu uminya tidur. Saya beritahu umi dan abi di syurga jadi kita kena banyak doa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Seri Kembangan, din sini, hari ini.

Hasil dan Ida Haryanie meninggalkan lima orang cahaya mata iaitu Hanan Hadrami (11 tahun), Humaira (9), Harraz (8), Hawwas (6) dan Hannan.

Allahyarham Hasil meninggal dunia pada 11 Ogos lalu selepas enam hari ditidurkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala isterinya pula meninggal pada 7 Oktober, selepas lima hari ditidurkan dan dirawat 64 hari di hospital.

Penjaga, Abdul Razak Basiron 67, dan isteri Intan Sulaiman, 64, bersama cucunya dari kiri Humaira Hasil, 9, Hawwas Hasil, 6, Hadrami Hasil, 11, Hannan Hasil, 3, dan Harraz Hasil, 8, yang kehilangan ibubapa mereka akibat jangkitan Covid-19 pada 11 Ogos lalu di rumahnya di Kota Perdana, Seri Kembangan. Foto MOHD ADZLAN, 23 OKTOBER 2021.

Sebagai seorang nenek, Intan tidak dapat menahan sedihnya kerana melihat lima cucunya kini anak yatim piatu.

Sementara itu, datuk kepada lima beradik itu, Abdul Razak Basiron,67, berkata, beliau akan berusaha menjaga sebaik mungkin semua cucu-cucunya itu.

“Tidak ada masalah sangat nak kami jaga lima beradik ini.

“Ketiadaan dua arwah memang terasa sangat. Anak-anak mereka kami akan jaga sebaik mungkin,” tambahnya.

Terdahulu, lima beradik itu diziarahi oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

PERKESO turut menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 kepada waris hari ini.

Selain dijadikan anak angkat PERKESO, lima beradik itu akan menerima RM835.70 Pencen Penakat hasil caruman Ida Haryanie sewaktu bekerja di sebuah hospital swasta sebelum ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast