Mohd Aswaad (kiri) menunjukkan bekas tapak projek yang dibiarkan hampir lima tahun menyebabkan pengguna jalan raya berdepan pelbagai risiko.

GEORGE TOWN – Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang menggesa pihak berwajib membersihkan bekas projek yang menghalang lalu lintas di Jalan Mayang Pasir 3, Bayan Baru, di sini.

Jurucakapnya, Mohd Aswaad Jaafar berkata, pihaknya difahamkan bahawa projek berkenaan dijalankan sejak 2017 oleh pemaju dan sehingga kini tidak ada pembaikan dilakukan.

Mohd Aswaad.

Katanya, pemeriksaan pihaknya juga mendapati tiada butiran mengenai projek terbabit di kawasan itu dan hanya terdapat seruan supaya orang ramai berhati-hati yang dilekatkan di bahagian hadapan penghadang.

“Kami masih cuba berhubung dengan pihak yang berkenaan namun gagal dan jika hujan lebat, memang air akan bertakung di kawasan ini.

“Terdapat satu lagi projek yang sama berhampiran Terminal Bas Sungai Nibong, namun ia sudah dibersihkan selepas kami membuat aduan kepada wakil rakyat.

“Adakah kita perlu buat aduan, baharulah mereka (pihak berwajib) hendak buat kerja?” soalnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal, Muhammad Rodzi Mohd Noor, 45, berkata, laluan itu merupakan laluan utamanya untuk ke tempat kerja.

Bekas tapak projek yang ditutup dengan kon konkrit dan plastik itu menghadkan penglihatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.

Katanya, projek di tengah jalan itu bukan sahaja mengganggu lalu lintas malah menyebabkan pemandangannya terhad ketika hendak keluar dan memasuki persimpangan.

“Tidak pasti projek itu dibina bagi tujuan apa, tetapi sudah hampir lima tahun saya lihat keberadaanya.

“Ramai mengadu mengenai kesukaran hendak keluar dari simpang itu terutama ketika waktu puncak kerana pemandangan terhad namun tiada sebarang tindakan dibuat setakat ini.

“Kita harap bekas tapak projek itu dibersihkan sekiranya sudah siap agar pengguna jalan raya tidak berdepan risiko kemalangan,” katanya.

Keadaan bekas tapak projek tersebut.

Tinjauan mendapati hanya terdapat sisa barangan binaan yang sudah berkarat di tapak berkenaan. – MalaysiaGazette