Pengunjung dapat menikmati kehijauan rimba serta pemandangan panorama bandar raya Kuala Lumpur pada aras ketinggian 141 meter dari aras laut.

KUALA LUMPUR – Pernahkah anda terbayang untuk menikmati pemandangan kehijauan rimba dari sudut atas ibarat pandangan lensa mata seekor burung yang terbang di udara?

Tambah mempesonakan pada aras ketinggian 141 meter dari aras laut, anda juga boleh menikmati pemandangan panorama bandar raya Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur serta Menara Tun Razak Exchange di bawah langit biru yang mengasyikkan.

Pengalaman tersebut boleh dirasai di Forest Skywalk atau Jejantas Rimba di Taman Botani Kepong seliaan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang dibuka semula kepada orang ramai sejak 16 Okt selepas lebih setahun ditutup susulan penularan COVID-19.

Ketua Pengarah FRIM Dr Ismail Parlan berkata selaras dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara pihaknya bersedia menerima kedatangan pengunjung bagi mencuba tarikan terbaharu terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar itu menerusi tempahan awal secara dalam talian, terhad kepada 160 pengunjung sehari.

Forest Skywalk atau Jejantas Rimba di Taman Botani Kepong seliaan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang telah dibuka semula kepada orang ramai sejak 16 Okt lepas selepas lebih setahun ditutup susulan penularan COVID-19.

“Jejantas ini sempat dibuka kepada orang ramai kira-kira 35 hari selepas pembukaan pada 31 Ogos tahun lepas dan mendapat sambutan memberangsangkan dengan kedatangan lebih 12,000 pengunjung sepanjang tempoh itu.

“Jadi sesuai dengan situasi semasa, kami menambah baik sistem menerusi tempahan awal secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan dan menjaga penjarakan,” katanya kepada Bernama.

Ismail berkata jejambat sepanjang 250 meter yang diperbuat daripada aluminium itu dilengkapi dengan ciri keselamatan yang terjamin dan berstruktur mesra alam.

Jelasnya Jejantas Rimba yang menelan kos RM3.5 juta itu dihubungkan lapan menara dengan ketinggian berbeza iaitu dari 18 meter hingga 50 meter yang turut menawarkan pemandangan tasik dan kehijauan rimba.

Beliau berkata hanya lima individu dibenarkan berada di jambatan pada satu masa dan pengunjung juga perlu sabar menunggu giliran untuk menaiki tangga secara berperingkat bagi tujuan keselamatan.

“Saya berharap kemudahan ini juga akan membantu meningkatkan lagi kesedaran dan penghayatan masyarakat mengenai kepentingan hutan yang penting dalam mengatasi isu perubahan iklim dan sama-sama menggalas tanggungjawab menjaga alam semula jadi,” katanya.

Ismail berkata orang ramai yang berminat untuk mencuba tarikan itu boleh membuat tempahan awal di laman web FRIM dengan bayaran tiket antara RM8 dan RM15 untuk kemasukan bermula 8.30 pagi hingga 3.30 petang. – BERNAMA