Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melihat remaja yang disuntik vaksinasi ketika program vaksinasi Covid-19 Selvax Remaja di Dewan Serbaguna MPK Pandamaran Jaya Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 OKTOBER 2021.

KLANG – Kerajaan Selangor hari ini telah memulakan Program SelVax Remaja melibatkan 3,416 individu berumur 12 tahun di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pandamaran Jaya sekitar pukul 8 pagi tadi.

Sejak dua jam tadi, seramai lebih 300 remaja telah divaksin.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu adalah inisiatif kerajaan negeri mempercepatkan vaksinasi remaja serta membantu melancarkan proses pembukaan institusi pendidikan di negeri Selangor.

Setakat ini, menurutnya, seramai 3,416 nama pelajar diterima melibatkan institusi pendidikan.

Pecahannya seperti berikut,1,235 pelajar dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS),1,181 pelajar dari Sekolah Rendah Agama Islam Integrasi (SRAI) dan 1,000 pelajar dari 50 buah Maahad Tahfiz di negeri itu.

“Program SelVAX Remaja dilaksanakan di beberapa lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), antaranya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, DUN Tanjung Sepat, DUN Bukit Lanjan, DUN Pandamaran dan lain-lain yang beroperasi dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.

“Di sini setakat jam 10 pagi ini kita sudah vaksin lebih 320 orang, kita jangka sehingga 1,000 sehingga petang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Vaksinasi Covid-19 SelVax di Pandamaran pagi ini yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Zuri.

SelVax akan menggunakan kaedah prapendaftaran melalui kod baucer di aplikasi SELangkah seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Pihak sekolah akan diberi kod baucer khusus yang membolehkan para pelajar melakukan pendaftaran kendiri di aplikasi SELangkah bagi melancarkan proses pemberian vaksinasi.

Dalam pada itu kata Amirudin, Selcare akan membantu proses pendaftaran pelajar yang tidak mempunyai telefon pintar atau tidak mempunyai akses kepada aplikasi SELangkah.

“Pihak sekolah juga akan dibekalkan dengan borang persetujuan vaksinasi yang akan diisi oleh ibu bapa bagi para pelajar yang terlibat sebelum suntikan diberikan.

Sebelum ini, Amirudin juga ada mendedahkan bagi memastikan tiada warga Selangor yang tercicir daripada program vaksinasi, Program SelVAX Komuniti akan diteruskan di klinik-klinik Selcare bermula 28 Oktober 2021 dan klinik panel di seluruh Selangor bermula 1 November 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast