Temubual eksklusif bersama bekas Pengerusi Suruhanjya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di Lorong Bukit Pantai 7, Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perkara utama dalam satu-satu pilihan raya adalah kempen dan jika tidak boleh diadakan bersemuka ia bermakna pilihan raya itu tidak lengkap.

Demikian menurut bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang menyelar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang tidak membenarkan kempen dibuat seperti kebiasaannya.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan pilihan raya demokrasi, kempen merupakan perkara teras yang perlu dilakukan.

“Kempenlah paling teratas. Di Singapura memang diadakan kempen secara maya tetapi Singapura pulau kecil macam Kuala Lumpur sahaja dan orang sana celik komputer.

“Di Melaka ini lain, 70 peratus adalah pemilih luar bandar. Saya tak tahulah pemilih ada kemudahan untuk dapat maklumat atau jika diadakan kempen secara maya begini,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Abdul Rashid berkata, ketiadaan kempen secara bersemuka juga memperlihatkan sesuatu PRN  itu tak lengkap.

“PRN demokrasi perlu ada kempen yang mana bersua muka antara calon dan pemilih. Calon boleh rumah ke rumah. Kalau nak cakap pasal Covid-19, kenapa pasar malam boleh, kedai makan boleh, tapi kempen pula tak boleh?” soalnya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, kempen secara maya juga dilihat lebih kepada unsur rasuah.

“Tak jumpa, macam mana pemilih nak kenal calon, akhirnya sogokan parti-parti inilah yang akan berlaku. Lebih banyak kempen atas talian atau maya akan lebih banyak rasuah diberi,” jelasnya yang sedikit kecewa apabila PRN Melaka dibuat sedangkan ia boleh diselesaikan tanpa pilihan raya.

“Patutnya ikut Persekutuan, yang tak ada majoriti serahkan kepada yang ada majoriti. Tidak perlu sehingga begini kerana Melaka akan terkeluar daripada siri Pilihan Raya Umum Ke-15 apabila melakukan PRN lebih awal sebegini.

“Tapi, entahlah, sudah berlaku kan? Saya hanya harap PRN Melaka akan menjadi contoh yang baik lebih-lebih lagi dengan calon yang lain daripada sedia ada,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan tiada kempen dibenarkan untuk PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berasa pelik sikit dengan pengumuman itu kerana ia seharusnya tidak berlaku kerana semua SOP akan dibuat oleh SPR.

“Kementerian Kesihatan pula saya tengok yang mengawal keadaan, bukan SPR. SPR ini dah macam jaga peti undi, tak ada makna sebagai pertubuhan yang dikira bebas untuk melaksana PRN buat keputusan tapi begini pula jadinya.

“SPR yang perlu berikan garis panduan atau SOP yang sesuai sepanjang PRN ini. Semua perkara berkaitan pilihan raya adalah atas urusan SPR bukan kementerian atau mana-mana agensi lain.

“Kementerian tak ada hak. Mungkin ada rundingan, tapi nampak gayanya orang lain pulak yang ambil tugas SPR.

“Orang luar tengok pelik. Sekarang banyak yang pelik berlaku. PRN Melaka yang dikawal oleh kerajaan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, perkara itu pernah diketengahkan oleh Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) namun hingga kini tiada perubahan.

“Sudahlah tak ada perubahan, malah makin teruk. Banyak perkara telah diusulkan oleh ERC tapi susah saya nak cakap,” katanya lagi.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN itu adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast