Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan mengarahkan beberapa pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap laporan Pandora Papers.

Siasatan tersebut antaranya melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pihak berkuasa dan agensi berkaitan akan diberikan tempoh untuk menyelesaikan siasatan.

“Saya bagi jaminan, saya akan jemput semua agensi-agensi yang disebut SPRM, BNM, PDRM, dan pihak lain untuk memberi arahan daripada Perdana Menteri supaya penyiasatan dilaksanakan dan kita akan berbincang dan menentukan tarikh jawapan diberi kepada pihak Parlimen selepas keputusan didapati daripada penyiasatan itu nanti.

“Kerajaan yang berbeza tindakannya berbeza, jadi sekarang berilah peluang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan saya beri jaminan kita akan ambil tindakan walaupun telah berlaku pada 2012,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar bertanya, adakah tidak mungkin kerajaan menetapkan satu arahan jelas kepada SPRM, beri tempoh supaya tindakan diambil memandangkan pendedahan ini melibatkan aktiviti yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, SPRM belum memulakan siasatan terhadap laporan Pandora Papers, sebaliknya agensi berkenaan dalam proses mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendedahan itu.

“SPRM juga mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi lain yang berkaitan termasuklah dengan BNM untuk memastikan koordinasi siasatan berhubung perkara ini berjalan lancar,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, secara dasar penggunaan akaun luar pesisir bukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

Namun kata beliau, tindakan akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan salah laku jenayah yang dilakukan individu atau syarikat.

Jelasnya , aktiviti kewangan luar pesisir di Malaysia dikawal selia oleh Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) melalui penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010 [Akta 704] dan Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan 2010 [Akta 705].

“Aktiviti penyelarasan dan aktiviti penguatkuasaan bersama juga telah dilaksanakan terutamanya melalui National Anti-Financial Crime Centre (NFCC), penguatkuasaan dan kawalan sempadan termasuk pemantauan aliran tunai tidak sah,” jelasnya.

Kata Wan Junaidi, kerajaan tidak akan mengganggu pihak berkuasa sekiranya terdapat laporan terhadap mana-mana pihak atau individu yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri supaya pihak-pihak yang terlibat dengan Pandora Papers termasuk Ahli Parlimen supaya memberi penjelasan dalam Dewan Rakyat.

Laporan Pandora Papers mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah menyembunyikan wang dan pelaburan mereka menerusi pemilikan hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.

Menurut pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari negara ini. – MalaysiaGazette