KUALA LUMPUR – Tumpuan dalam pilihan raya negeri Melaka terletak pada dua gergasi iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), manakala pengaruh Perikatan Nasional (PN) dianggap sangat terhad.
Penganalisis politik, Wong Chin Huat berkata, kuasa PN yang diterajui Bersatu dan Pas adalah lemah dan sukar mencapai kemenangan dalam perang tiga segi.
“Secara umumnya, keadaannya adalah antara BN dan PH di Melaka,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.
Mengenai keadaan PH, Chin Huat berkata, sebagai parti yang menekankan aspirasi politik dan melaungkan perubahan kerajaan, fahaman dan matlamat PH sukar digerakkan secara optimum kerana COVID-19.
“Keadaan semasa mungkin menyebabkan kadar keluar mengundi merosot, sekali gus menyebabkan peluang kemenangan berpihak kepada UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalis politik, Lum Chih Feng juga berpendapat kadar mengundi yang rendah dan pengaruh akar umbi UMNO yang kuat membolehkan UMNO memiliki peluang lebih besar untuk menguasai semula Melaka.
“PH memang akan mendapat ‘dunia runtuh’ tertentu dalam keadaan undi Melayu yang berpecah, tetapi ‘dunia runtuh’ yang bakal dinikmati itu tidak akan sebanyak pada 2018,” katanya.
Penganalisis itu juga menjangkakan kemungkinan PH kehilangan kawasan campuran di mana populasi Melayu mencecah 60 hingga 70 peratus.
“Untuk kerusi yang mempunyai ramai pengundi Cina pula, DAP dijangka dapat mengekalkan pengaruh yang ada,” katanya.
Mengulas tentang kedudukan PN, Chih Feng berkata, Bersatu dan Pas mungkin pulang dengan tangan kosong dalam pilihan raya negeri kerana dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Paya Rumput dan Telok Mas bukannya pemimpin yang sangat berpengaruh.
“Mereka boleh menang pada 2018 kerana didorong oleh angin pembangkang yang sedang bertiup,” katanya. – MalaysiaGazette