Halia Bentong kini semakin popular.

KUALA LUMPUR – Kegiatan pertanian sama ada berskala besar atau kecil selalunya menjanjikan pulangan yang menguntungkan.

Jika  bukan untuk jualan sekali pun, hasilnya  boleh digunakan sendiri dalam pelbagai manfaat termasuk dalam masakan, perubatan dan produk kecantikan.

Halia Bentong kini antara pokok herba yang semakin menjadi pilihan orang ramai kerana mempunyai banyak  kegunaan dan khasiat.

Ia juga mudah dijaga dan tuaiannya hanya mengambil masa enam  bulan daripada tarikh semaian.

Halia Bentong mendapat namanya berdasarkan geografi penanamannya di Bentong dan telah dipatenkan oleh kerajaan Malaysia.

Nama lain bagi Halia Bentong ialah halia Bukit Tinggi kerana lokasi penanamannya di kawasan cerun bukit tanah tinggi seperti di Bukit Tinggi, Janda Baik dan Bentong, Pahang.

Ciri-ciri Halia Bentong boleh dikenal pasti melalui rizomnya yang lebih besar, berwarna kuning cair serta tahap kepedasan yang tinggi selain itu mengandungi urat atau serabut lebih halus namun mempunyai serat yang tinggi dan jusnya lebih banyak.

Bagi tujuan merancakkan aktiviti pertanian tersebut, Al-Ansar Marketing Resources, anak syarikat Kumpulan Al- Ansar melancarkan Program Halia Bentong Agroprenuer (HABA)  baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin, pihaknya menjalin kerjasama dengan HABA yang merupakan inisiatif menggalakkan usahawan tani melibatkan diri dalam pertanian berskala kecil iaitu antara 20  hingga 100 polibag sahaja.

“Tanaman halia di negara ini belum mencukupi untuk kegunaan harian kerana daripada data tahun 2020, hanya satu juta tan yang dihasilkan sedangkan keperluan rakyat adalah sebanyak lima ke enam juta tan.  Peluang ini sebaiknya direbut oleh usahawan kerana tidak timbul isu lambakan hasil,” katanya pada majlis pelancaran itu

Program Halia Bentong Agroprenuer dilancarkan baru-baru ini.

Hadir sama, Pengasas platform Ejazmine.com, Datuk Seri Mohd Rizal Mohd Yusof, Pengurus Besar Al Ansar, Farizal Tumiran dan Pengarah HABA, Hadi Pilus.

Muhammad Khanafi  yang juga Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia  (DPIM) Putrajaya, pihaknya mensasarkan 1000 usahawan termasuk ahli DPIM terlibat dalam program tersebut .

“Ramai yang terkesan semasa pandemik Covid-19 dan tanaman halia ini diharap mampu membantu sumber kewangan yang terjejas.

“Program ini  walaupun diperkenalkan dikalangan usahawan kecil-kecilan termasuk suri rumah, persatuan komuniti kawasan perumahan dan kumpulan asnaf  untuk ditanam di kawasan kediaman namun jika berjaya mensasarkan  jualan 1,000 pakej  pada akhir tahun 2022 nanti hasil yang mampu dituai sebanyak 200 tan.

“Mengikut harga pasaran semasa, halia Bentong dibeli dengan harga RM18 sekilogram dan jika 200 tan dihasilkan, bermakna harga jualan adalah sebanyak RM3.6 juta,” ujarnya

Muhammad Khanafi menambah, kelebihan  tanaman itu mudah diuruskan termasuk ditanam di kawasan perumahan kampung atau bandar  kerana penjagaannya  tidak rumit.

Ia hanya perlu disiram tiga hari sekali manakala siraman baja dan racun dilakukan jika perlu.

Bagi memudahkan orang ramai memperoleh benih halia Bentong, Al Ansar Marketing Resources dan HABA bekerjasama dengan Ejazmine.com menawarkan  anak benih halia kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Khanafi berkata, buat masa ini, tawaran pembelian benih halia Bentong melalui Ejazmine hanya di Lembah Klang sahaja dan jika mendapat sambutan pihaknya bercadang meluaskan jualan ke seluruh negara.

“Buat permulaan, pakej yang ditawarkan benih halia seberat satu kilogram, 20 keping polibag dengan harga pakej RM 140. Terdapat juga pakej halia tiga kilogram benih untuk 50 polibag harga pakej RM 300 dan lima kilogram  benih bagi tanaman 100 polibag dengan pakej RM500. Kesemua pakej akan disertakan dengan sabut kelapa”, katanya.

Muhammad Khanafi menjelaskan, pihaknya juga akan memberi sokongan kepada usahawan untuk membeli semula hasil tanaman halia apabila boleh dituai.

“Bagi mengatasi masalah lambakan hasil mereka boleh menjual sendiri kepada mana-mana pihak ataupun memilih menjualnya semula  kepada pihak HABA mengikut terma dan syarat yang boleh didapati apabila mereka membeli benih,” ujarnya.

Halia Bentong mudah ditanam dalam polibag.

Sementara itu, pengasas Ejazmine.com, Mohd Rizal berkata, program HABA merupakan perintis kepada produk agro yang  dijual melalui platform tersebut.

“Ejazmine mempunyai kepelbagaian produk yang ditawarkan dan HABA adalah yang pertama dalam bentuk pertanian. Melalui kaedah ini akan memudahkan urusan membuat pembelian kerana pihak HABA akan menguruskan penghantaran.

“Diharap dalam tempoh enam bulan akan datang, kumpulan usahawan halia Bentong  berjaya menambah sumber pendapatan mereka,” katanya sambil memberitahu mereka yang berminat boleh menghubungi talian 017-2248222. – MalaysiaGazette