KUALA LUMPUR – Belanjawan 2022 yang dibentangkan di Parlimen pada Jumaat ini sudah pasti dinantikan-nantikan seluruh lapisan masyarakat di negara ini.
Rata-rata harapan besar rakyat agar rangkuman belanjawan yang akan dibentangkan tidak meminggirkan mana-mana golongan.
Selain itu, mereka berharap pembahagian kek ekonomi bersifat lebih menyeluruh serta memenuhi setiap keperluan rakyat.
Seorang peniaga, Khairul Rahman Zainudin, 46, berpendapat kerajaan harus menyediakan dana atau modal khusus kepada peniaga yang cuba bangkit dan bangun semula selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
“Daripada segi peruntukan kewangan, kalau boleh adakan dana untuk peniaga kecil yang terjejas terus selepas sudah tidak lama berniaga atau pun memudahkan urusan mereka dari segi tapak perniagaan atau pelesenan.
“Golongan ini memerluka lebih perhatian berikutan tidak mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung Baru hari ini.
Khairul Rahman turut menyarankan kerajaan untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi mengumpulkan individu yang kehilangan mata pencarian akibat Covid-19.
Kumpulan sasar berkenaan boleh diberikan peluang untuk mempelajari kemahiran baharu dan membantu mereka mencari pekerjaan yang sesuai, katanya.
“Akibat Covid-19, sudah tentu ramai yang hilang kerja dan menjadi susah. Mungkin kalau mereka minat berniaga kita carikan tempat untuk berniaga, kalau ada yang minat untuk membaiki kereta, kita cari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penghantar makanan berasal Kota Kinabalu, Sabah, Aldan Abdullah, 29, pula berkata, golongan p-hailing dan e-hailing perlu diutamakan dalam belanjawan kali ini.
Ia kerana golongan tersebut satu ketika dahulu merupakan individu yang mempunyai pekerjaan tetap namun telah hilang segala-galanya akibat wabak Covid-19 yang melanda negara.
“P-hailing ini kalau mereka rajin boleh sampai RM4,000 sebulan pendapatan namun mereka ini masih menjadi golongan yang sukar untuk mendapat kelulusan pinjaman bank ekoran tiada slip gaji mahu pun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tetap.
“Sebab itu saya rasa kerajaan boleh cari mekanisme untuk bantu golongan seperti kami ini, permudahkan urusan kami kerana kami juga sama seperti pekerja lain yang ingin memiliki aset sendiri,” katanya.
Aldan sebelum ini merupakan pekerja dalam bidang makanan dan minuman kehilangan kerja ketika pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Manakala bagi seorang pelajar, Ain Zeman, 21, berharap kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi dapat melihat semula kadar yuran pengajian di universiti dan kolej swasta yang semakin meningkat.
“Disebabkan duit pinjaman tidak begitu mencukupi dengan perbelanjaan yang turut meningkat, jadi saya pilih untuk bekerja separuh masa sambil belajar kerana itu sahaja pilihan yang ada ketika ini.
“Jadi memang harap sangat kerajaan dapat lihat perkara ini, mungkin ada potongan diskaun bersesuaian yang mampu memberi manfaat dan situasi menang-menang antara pelajar dan pihak universiti,” ujarnya.
Seorang penghantar barang, Asrul Salihin, 30, berkata, golongan B40 harus diberi lebih perhatian menerusi pembentangan bajet yang sudah masuk tahun kedua dalam musim pandemik Covid-19.
Katanya lagi, kerajaan perlu lebih bersikap prihatin dan menyelamai denyut nadi rakyat yang sekian lama terkesan dengan wabak tersebut.
“Semua orang terjejas tapi golongan B40 ini mungkin lebih lagi termasuk lah golongan peniaga kecil. Mana-mana individu yang sebelum ini pernah dibuang kerja, kita cari mereka dan bantu. Jangan biar mereka keciciran,” katanya.
Belanjawan 2022 akan dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini. – MalaysiaGazette