Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Prosiding pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta terhadap peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersambung di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hari ini, pembelaan tampil membantah sebahagian daripada keterangan saksi ke-6, bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad yang dianggap prejudis.

Menurut peguambela mewakili Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh, saksi itu yang belum lagi memberikan keterangan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berlagak seperti pakar undang-undang.

Jelasnya, perenggan 33 daripada 51 perlu dilupuskan kerana saksi seolah-olah sudah membuat keputusan anak guamnya bersalah walhal hanya hakim sahaja mempunyai kata putus itu.

“Pelik sekali bila baca keterangan saksi ini, beliau hanya berkelulusan perakaunan dan bukan undang-undang tetapi memberikan pendapat berkaitan tafsiran peruntukan Akta Cukai Pendapatan.

“Itu adalah pendapat undang-undang dan satu-satunya orang yang boleh memberi pendapat undang-undang ialah Yang Arif, kenyataan bertulis oleh saksi itu seperti sudah capai kata putus terhadap anak guam kami,” katanya ketika prosiding hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz membantah permohonan pihak pembelaan untuk menghapuskan kenyataan saksi Syed Nasrul perenggan 31 daripada 51 itu.

Hujah beliau, isu yang dibangkitkan  pihak pembelaan adalah sangat serius dan perlu ditangani terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Muhammad Jamil berkata, beliau hendak mendengar Syed Nasrul membacakan keterangan saksinya terlebih dahulu apabila perbicaraan bersambung kelak sebelum membuat apa-apa keputusan.

Hakim kemudian menetapkan prosiding bersambung pada 8 Disember ini sejurus selepas Muhammad Shafee kembali dari New York, Amerika Syarikat.

Muhammad Shafee berdepan dengan dua tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Muhammad Shafee menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014 dan berdepan dengan dakwaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Jika sabit beliau boleh dihukum denda RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967. -MalaysiaGazette