KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) membuat laporan polis terhadap V. Ganabatirau hari ini bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Kerajaan Negeri Selangor itu.
Laporan polis ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP-Kota Kemuning itu dibuat oleh Setiausaha Agung Ummah, Khalil Idham Lim Abdullah di Balai Polis Bagan Serai, Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Perak pagi tadi.
Dalam laporan polis itu, Khalil Idham melahirkan rasa kesal terhadap tindakan tidak beradab Exco Selangor tersebut yang memaki hamun pegawai jabatan perairan dan saliran negeri tersebut di khalayak awam.
“Pada 26 Oktober lalu jam 10 pagi saya ketika berada di rumah di Parit Buntar terlihat satu rakaman video yang meunjukkan ADUN Kota Kemuning bernama Ganabatirau Veraman memaki penjawat awam Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.
“Video itu dimuat naik oleh pemimpin itu sendiri di laman Facebook dan antara kata-kata makian yang saya dengar adalah berbunyi kerja bodoh, tak tahu baca, dan tak boleh buat kerja dilemparkan ke atas kakitangan awam itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: CUEPACS terkilan tindakan ADUN Kota Kemuning terhadap kakitangan JPS, desak permohonan maaf
Sehubungan itu, Khalil Idham meminta polis membuka siasatan ke atas Ganabatirau.
Tambah beliau, sebagai pemimpin dan exco negeri, dia seharusnya bertindak profesional dan bijaksana menyelesaikan permasalahan itu secara bersama dengan penjawat awam dan bukannya memaki mereka di khalayak ramai.
Ujarnya, tindakan Ganabatirau itu tanpa usul periksa adalah menyedihkan dan tidak boleh dimaafkan.
Beliau meminta polis menyiasat ADUN Kota Kemuning itu di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana akta lain untuk tindakan lanjut.
“Perbuatan sebegini mestilah diambil tindakan sesuai dengan undang-undang yang ada demi melindungi penjawat awam supaya mereka dapat menjalankan tugas kepada rakyat dengan selesa dan tanpa gangguan pemimpin politik.
“Tindakan polis penting untuk mengelak insiden berkenaan berulang lagi dan menjadi peringatan untuk pemimpin-pemimpin lain mengawal mulut dan emosi serta menghormati kakitangan awam.
“Permohonan maaf tidak dapat menyelesaikan masalah kerana kalau budaya ini dibiarkan tanpa tindakan, bimbang ia akan menggalakkan seseorang melakukan perbuatan yang salah di masa hadapan.
“Dalam perkara ini, semua pihak mestilah memberi kerjasama yang baik kepada penjawat awam dengan memberi bantuan bukannya memaki hamun mereka, yang mana kita semua ada peranan dalam masayarat dan mestilah menilai kerja penjawat awam dengan mengadakan perbincangan yang berhemah, beradab tetapi bukannya dengan cara maki hamun,” tegasnya.
Sebelum ini Presiden CUEPACS Adnan Mat turut mengeluarkan kenyataan membidas tindakan Ganabatirau tidak menghormati kakitangan awam dan memaki pegawai JPS di khayalak umum sebagai tindakan melampau.
Beliau juga menyifatkan tindakan ADUN Kota Kemuning itu menunjukkan heroism dalam menangani permasalahan itu dan melepaskan tanggungjawab kepada penjawat awam sendiri. -MalaysiaGazette