Adnan Mat

SHAH ALAM – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning V. Ganabatirau yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) baru-baru ini dianggap sangat keterlaluan, seolah-olah merendahkan penjawat awam yang sedang bertugas, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat.

Beliau berkata pihaknya terkilan dengan tindakan ADUN itu yang disifatkan tidak profesional dalam tugasnya, apatah lagi video yang tular itu dimuat naik sendiri oleh beliau tanpa diketahui niat atau tujuan sebenar, manakala penjawat awam yang terbabit dalam kejadian itu dilihat tidak diberi peluang membuat apa-apa penjelasan.

Justeru katanya CUEPACS mendesak Ganabatirau yang juga Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin Selangor membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam terutama kakitangan JPS yang terlibat.

“CUEPACS juga mahu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari masuk campur dalam perkara ini supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan menegaskan adalah tidak wajar anggota pentadbiran kerajaan negeri bertindak menyerang penjawat awam.

Sabtu lepas Ganabatirau memuat naik sebuah video di Facebooknya memaparkan beliau meninjau dan memantau isu banjir di Taman Sri Muda dekat sini dan tidak berpuas hati dengan alasan diberikan oleh JPS.

— BERNAMA