Syed Saddiq Abdul Rahman

MELAKA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini menyatakan hasrat  akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata untuk itu, pihaknya kini berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi meletakkan calon MUDA pada PRN berkenaan.

“MUDA telah pun membuat pendirian tetap untuk bertanding pada PRN negeri (Melaka) ini. Kita akan berunding dengan parti-parti (PH) dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat.

“Kami mahu meletakkan nama kami sebagai sebuah parti yang berhasrat untuk bertanding bersama dalam semangat blok pembangkang untuk membawa perubahan yang jelas,” katanya dalam sidang media mengenai PRN Melaka di sini hari ini.

MUDA yang ditubuhkan Syed Saddiq pada 17 Sept tahun lepas bagaimana pun belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai parti politik.

Semasa ditanya pemberita sama ada MUDA akan bertanding dibawah tiket PH memandangkan parti itu masih belum disahkan pendaftarannya, Ahli Parlimen Muar itu berkata perkara itu masih dibincangkan.

Beliau berata pihaknya akan mengetengahkan calon muda yang dinamik, berpengalaman dan mempunyai trek rekod perkhidmatan yang baik bagi PRN itu.

“Saya difahamkan PH juga sedang berbincangkan logo apa yang bersesuaian. Tetapi (apa) yang jelas, mana-mana gabungan yang kita sertai, kita perlu tekankan tiga perkara iaitu politik berbilang bangsa dan agama, politik moderate dan dasar serta politik khidmat.

“ Kita tolak politik katak, politik tidak berintegriti yang bersandarkan pangkat dan jawatan semata-mata,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast