Kilang pembuatan fucuk tradisional di Bukit Tambun, Pulau Pinang terlalu kotor diarah tutup serta-merta.

NIBONG TEBAL – Bukan saja dihurung lalat malah terdapat najis anjing kurang 10 meter dari lokasi memproses fucuk.

Itulah keadaan yang meloyakan di sebuah kilang memproses fucuk secara tradisional di Bukit Tambun, dekat sini ketika diserbu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pada jam 10 pagi tadi.

Keadaan sekitar sebuah kilang fucuk di Bukit Tambun, Nibong Tebal.

Kelibat anjing turut mengancam kehadiran pegawai penguatkuasa ketika melakukan serbuan.

Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan  mendapati keadaan persekitaran termasuk kawasan memproses fucuk itu terlalu kotor.

Ada tahi anjing berhampiran lokasi proses fucuk, selain peralatan yang digunakan tidak bersih menyebabkan semua bahan itu dihurung lalat.

Mohd Wazir

“Ketika serbuan kita dapati seorang pekerja warga asing sedang memproses fucuk itu seorang diri. Bagaimanapun dia bertindak melarikan diri berikutan tidak mempunyai permit lengkap dan tiada suntikan tifoid bagi mengendalikan produk makanan terbabit.

“Kilang tersebut juga terlalu kotor,  dipenuhi sarang labah-labah,” katanya kepada media.

Mohd Wazir berkata, pihaknya mendapati kilang berkenaan pernah diserbu tiga tahun lalu atas isu yang sama, namun pemilik premis berjanji tidak akan beroperasi lagi di kawasan berkenaan.

Mohd Wazir menunjukkan fucuk dikeringkan di kawasan terdedah pada pencemaran selain dihurung lalat.

“Bagaimanapun, hasil pemantauan kita sejak tiga minggu lalu mendapati kilang ini masih beroperasi dan apabila diserbu hari ini pemilik premis masih memberikan alasan yang sama,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, pegawai penguatkuasa turut diancam dengan kehadiran lebih lima ekor anjing yang dipercayai dibela pemilik kilang tersebut.

Tambah Mohd Wazir, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kilang itu sepatutnya tidak boleh wujud  kerana ia tidak berlesen walaupun sudah beroperasi sejak 12 tahun lalu dan keadaan kebersihan terlalu teruk.

Mohd Wazir menunjukkan tahi anjing yang ditemui berhampiran tempat proses fucuk tersebut.

Katanya, pemilik premis mendakwa produk yang dihasilkan itu dipasarkan di selatan tanah air, namun keterangannya diragui memandangkan tiada label pembungkusan pada produk tersebut.

“Ketiadaan label pada produk juga amat merisaukan yang mana jika berlaku kes keracunan makanan menyukarkan kita mengesan di mana produk itu dikeluarkan selain tidak menolak kemungkinan produk ini juga dikeluarkan secara alibaba,” jelas Mohd Wazir.

Mengulas lanjut Mohd Wazir berkata, secara keseluruhan kompaun berjumlah RM5,000 dikeluarkan serta kilang tersebut diarah tutup serta-merta.

Keadaan kilang tersebut diklasifikasikan terlalu kotor dan sepatutnya tidak boleh beroperasi.

“Kita juga berharap PBT dapat mengambil tindakan lanjut agar kilang tersebut tidak lagi beroperasi selepas ini kerana ia mengundang pelbagai risiko terutamanya kepada pengguna,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast