KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Perihal Dagangan (Pindaan) 2021, RUU Ordinan Peguam Bela (Sabah)(Pindaan) 2021 dan RUU Lembaga Angkasa Malaysia 2020.
Ketiga-tiga RUU itu diluluskan selepas dibahaskan sepanjang hari oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Ia bermula dengan RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.
Selepas itu, pembentangan RUU Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 menyusul oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Yang terakhir dibentangkan, RUU Lembaga Angkasa Malaysia 2020 oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Sementara itu RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 menggantikan Akta Perihal Dagangan 2011 atau lebih dikenali sebagai Akta 730.
Berdasarkan RUU berkenaan, skop akta sedia ada diperluaskan lagi agar ia lebih komprehensif bersesuaian dengan peredaran masa dan isu-isu berbangkit ketika ini.
Ia termasuk memasukkan larangan penggunaan apa-apa pernyataan, ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barangan.
RUU Lembaga Angkasa Malaysia 2020 pula disyorkan untuk mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan angkasa.
Ahmad Amzad ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata, usaha penggubalan RUU itu timbul dari keperluan negara untuk memperkasakan sektor pembangunan angkasa yang turut meliputi urusan mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa.
“Peningkatan penggunaan teknologi angkasa dalam bidang komunikasi, navigasi, pengurusan sumber, pembangunan dan keselamatan negara serta manfaat yang diperolehi telah menarik minat bukan sahaja pihak kerajaan tetapi pihak industri dan institusi pengajian tinggi.
“Selaras dengan peningkatan dan perkembangan teknologi semasa yang menuju kepada Revolusi Industri 4.0, analitik data raya dan teknologi maklumat dan komunikasi, peningkatan keperluan terhadap data, imej serta maklumat yang diperoleh daripada teknologi angkasa telah melonjakkan pembangunan teknologi angkasa di seluruh dunia,” katanya.
Ahmad berkata, berdasarkan laporan Persatuan Industri Satelit (SIA), pendapatan ekonomi angkasa di peringkat antarabangsa bagi tahun 2020 mencecah AS$371 bilion. – MalaysiaGazette