KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor menahan sebuah kapal tunda yang berdaftar dari Singapura yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tunda tersebut telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan Op Jangkar Haram di kedudukan 13.7 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa sekitar pukul 6.30 petang.
“Ketika pemeriksaan dilakukan seramai 13 kru warga Filipina dan Rusia berumur di antara 31 tahun hingga 48 tahun berada dalam kapal serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil siasatan kami juga mendapati dokumen kapal nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, nakhoda dan seorang kru kapal kemudiannya dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, Maritim Johor akan terus melaksanakan pemantauan bagi memastikan perairan negeri ini bebas dari sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran.
“Pemilik kapal dan nakhoda dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut,” katanya.-MalaysiaGazette