JOHOR BAHRU – Kisah van putih bercermin gelap yang berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di Taman Sri Lalang di Kluang akan disiasat polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng mengesahkan pihaknya akan berbuat demikian selepas menerima aduan daripada orang ramai.
Menurutnya, polis menerima aduan daripada seorang wanita berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.45 pagi tadi berhubung perkara yang sama.
“Dalam kejadian pukul 5.23 petang semalam, wanita itu memaklumkan dua anaknya berada di luar rumah telah melihat van berwarna putih bercermin gelap dengan nombor pendaftaran tidak pasti dalam keadaan mencurigakan.
“Van berkenaan menghampiri anak pengadu yang ketika itu berada kira-kira 30 meter dari jarak pengadu. Pengadu mengarahkan anaknya melarikan diri ke rumah dan seterusnya van beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya Hang Seng, siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk mengesan van yang dilaporkan wanita tersebut.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian 07-7784222; 07-7766822 (hotline); 07-7784256 (direct line) dan 014-3656822 (Tablet DCC). – MalaysiaGazette