Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Hamzah Omar (kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil pegawai Kementerian Pendidikan mengenai bantahan isu sambungan pelanggaran tender automatik setahun oleh sesetengan sekolah di Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merayu supaya peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi seorang pelajar dinaikkan kepada RM4.

Presidennya, Hamzah Omar berkata, peruntukan terkini untuk seorang pelajar iaitu RM2.50 ternyata tidak munasabah dengan menu makanan yang perlu sediakan pengusaha kantin setiap hari.

“Ada pengusaha kantin yang tidak mampu sediakan RMT dengan jumlah RM2.50 terpaksa guna orang luar, orang luar pun kata itu tidak cukup. Mereka katakan RM4 untuk seorang murid barulah memadai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, permintaan persatuan itu telah disuarakan kepada kementerian itu menerusi satu memorandum yang telah dihantar pada September tahun lalu, walaubagaimanapun tidak ada respon diterima pihaknya.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Hamzah Omar bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada wakil pegawai Kementerian Pendidikan mengenai bantahan isu sambungan pelanggaran tender automatik setahun oleh sesetengan sekolah di Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 OKTOBER 2021.

Dalam masa yang sama, PPKSM turut memohon KPM mengubah Prosedur Operasi Standard (SOP) penghantaran makanan ke setiap kelas.

Jelas Hamzah, pekerja kantin sering kepenatan ekoran terpaksa menghantar makanan di setiap kelas sekolah pada setiap waktu rehat.

Sehubungan itu beliau memohon supaya murid sekolah dibenarkan membeli makanan di kantin dan kemudian makan di dalam kelas.

“Kita faham sekolah-sekolah ini ada yang tiga empat tingkat, pekerja terpaksa turun naik untuk hantar makanan akhirnya keletihan, tidak boleh bertahan cara paling mudah mereka berhenti kerja.

“Untuk dapatkan pekerja pengganti bukan sesuatu yang mudah jadi bila ketiadaan pekerja, akhirnya pengusaha kantin terpaksa tarik diri sebab sudah tidak ada pekerja tidak mampu laksanakan kerja harian,” tambahnya.

Malah katanya, ada sekolah yang membenarkan muridnya untuk membeli makanan di kantin sendiri kemudian kembali ke kelas.

“Jadi cara penghantaran makanan ini memerlukan SOP yang bersesuaian sebab kita lihat setengah sekolah ada yang pelajar dibenarkan turun beli dan bawa makanan makan di kelas.

Sementara itu, Setiausaha PPKSM, Siti Normah Md Desa berharap agar KPM memandang serius permintaan lebih kurang 10,200 pengusaha kantin seluruh negara.

“Kami tidak perjuangkan sesetengah individu sahaja tapi semua pengusaha kantin di seluruh negara. Jadi kami minta kementerian memandang serius apa yang kami minta ini untuk mengelakkan pengusaha terjejas teruk akibat SOP yang membebankan

“Kami minta KPM menyemak semula SOP-SOP yang disediakan, selaraskan bagi memastikan pengusaha kantin dapat meneruskan perkhidmatan dengan kualiti yang terbaik. Majoriti pengusaha kantin rasa terbeban dengan SOP terkini ini,” katanya.

Sebelum ini PPKSM menegaskan bahawa jumlah peruntukan RMT untuk seorang pelajar tidak lagi relevan berikutan harga barang mentah yang semakin tinggi.- MalaysiaGazette