Gambar hiasan

ISU halal dan haram adalah penting untuk umat Islam. Setiap umat Islam yang mengaku diri mereka beriman dengan ajaran agama Islam perlu mematuhi segala perintah dan ketetapan yang telah ditetapkan sekiranya mereka ingin mendapat keredaan daripada Allah SWT serta mengecapi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Allah SWT menjelaskan berhubung perkara ini di dalam Surah al-Baqarah, Ayat 168 yang bermaksud “Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda “Perkara halal adalah jelas dan yang haram juga jelas.Bagaimanapun, di antara keduanya, terdapat perkara yang
tidak jelas (syubhah) yang mana ramai orang tidak mengetahuinya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Setiap umat Islam wajib menjauhi dan meninggalkan segala perkara yang telah jelas status haramnya. Antara yang jelas haram kepada umat Islam ialah seperti arak dan khinzir. Ini adalah kerana status mengenai pengharamannya adalah jelas dinyatakan di dalam kitab suci umat Islam iaitu al-Quran.

Pengharaman arak telah jelas dinyatakan di dalam Surah al-Ma’idah, Ayat 90 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

Pengharaman khinzir juga jelas dinyatakan didalam Surah al-An’am, ayat 145 yang bermaksud “Katakanlah, tiadalah aku peroleh dalam wahyu
yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah.

Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Bagaimana pula dengan rokok? Tiada ayat khusus yang merujuk kepada pengunaan rokok ini di dalam kitab suci al-Qur’an. Walaupun begitu, ianya tidak bermakna rokok itu halal untuk digunakan oleh umat Islam.

Penting untuk setiap umat Islam ketahui bahawa Allah SWT juga melarang umat Islam untuk melakukan sebarang perkara yang merugikan diri mereka sendiri serta menyusahkan orang sekeliling. Ini selaras dengan firman Allah SWT didalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu
sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Allah SWT juga telah berfirman di dalam Surah al-A’raf, ayat 157 yang bermaksud “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”.

Bertitik tolak daripada dua Surah yang dinyatakan di dalam kitab suci al-Qur’an ini, satu fatwa tegas terhadap pengharaman rokok telah dikeluarkan di dalam negara kita lebih 25 tahun yang lalu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan dengan jelas bahawa “merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”.

Pengharaman rokok terbabit telah dibuat berdasarkan tiga faktor utama iaitu merokok membahayakan kesihatan diri perokok itu sendiri, merokok mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling yang terpaksa menghidu bau asap rokok berkenaan, serta sikap merokok itu sendiri yang menjurus kepada proses pembaziran wang, masa dan tenaga serta merugikan perokok yang mengunanya.

Merokok juga membawa kerosakan alam sekitar melalui pencemaran akibat daripada asap rokok yang dihasilkan serta proses pembuangan puntung-puntung rokok merata-rata di atas jalan.

Rokok juga berisiko tinggi untuk mencetuskan kebakaran sekiranya puntung-puntung rokok yang digunakan tidak dipadam sepenuhnya dan dicampak dengan sesukahati di tempat yang mudah terbakar.

Berdasarkan pelbagai kajian yang telah dilakukan, wanita dan kanak-kanak antara golongan paling ramai menderita diserang penyakit bahaya kesan daripada pencemaran asap rokok daripada perokok tegar sekitar mereka.

Bayi dan kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok berisiko mendapat pelbagai jenis penyakit yang merbahaya seperti lelah, jangkitan paru-paru dan bagi wanita yang mengandung juga pula boleh melemahkan kandungan mereka.

Semua keburukan yang dibawa oleh rokok ini perlu diberi perhatian serius oleh semua umat Islam dalam negara kita. Umat Islam dalam negara kita perlu menghormati fatwa yang telah dikeluarkan lebih 25 tahun yang lalu berkaitan dengan pengharaman untuk menghisap rokok ini.

Ini kerana keputusan fatwa yang telah dibuat berdasarkan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan dalam agama Islam sendiri berkaitan dengan isu kepentingan untuk menjaga kesihatan, peringatan untuk tidak membazir wang, serta amaran untuk tidak menjebakkan diri ke dalam sebarang perkara yang bukan sahaja boleh memudaratkan diri sendiri malah kepada diri orang lain.

Dalam usaha pihak kerajaan memperkasakan undang-undang Syariah dalam negara kita pada, pihak kerajaan boleh juga memberi pertimbangan untuk jadikan isu merokok dalam kalangan umat Islam ini sebagai satu kesalahan Syariah.

Ini penting supaya masalah ketagihan merokok khususnya dalam kalangan umat Islam dapat diatasi dengan sepenuhnya.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang ,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast