Para peniaga antara kumpulan yang mendapat perhatian kerajaan dalam Bajet 2022. Foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2021.

JUMAAT lalu, rakyat Malaysia disajikan dengan pelbagai insentif dan inisiatif dalam pembentangan Bajet 2022.  Dengan bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” dan berteraskan tiga paksi utama, iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, tidak keterlaluan dikatakan Bajet 2022 ini bertunjangkan keperluan rakyat. Masakan tidak, dengan keadaan ekonomi tidak menentu, kerajaan cukup berani untuk mengumumkan bajet tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini yang berjumlah RM332.1 bilion.

Tujuannya bagi memastikan rakyat Malaysia dapat memulihkan semula diri masing-masing dan seterusnya bangkit untuk terus berada pada tahap yang lebih baik selepas ini. Ini mencakupi pelbagai aspek kehidupan seharian mereka. Selepas hampir dua tahun berada dalam situasi yang begitu getir, duduk di rumah dengan begitu lama dan ada yang mengalami pelbagai kesusahan yang tidak pernah dijangka sebelum ini, maka sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan untuk membantu sedaya upaya rakyat Malaysia yang cukup terkesan dengan pandemik COVID-19.  Jika ingin dihuraikan satu persatu pelbagai inisiatif dan insentif dalam Bajet 2022, pastinya tidak mampu ditulis dalam artikel ini.

Namun, secara umumnya, boleh dikatakan rakyat Malaysia tidak kira siapa pun menerima pelbagai durian runtuh daripada Bajet 2022. Ini terutamanya golongan berpendapatan rendah B40, orang kurang upaya (OKU) dan orang asli. Misalnya, kerajaan akan menanggung sepenuhnya bayaran lesen kenderaan motor bagi semua kenderaan persendirian kepunyaan OKU.  Tidak cukup dengan itu, sektor pertanian dan agromakanan juga diberi tumpuan melalui peruntukan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu, iaitu sebanyak RM4.82 bilion buat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).  Sektor pertanian negara perlu dilonjakkan pada tahap yang lebih kompetitif seiring dengan perubahan sektor pertanian global yang kini menjana pendapatan yang lumayan.

Selain itu, buat julung-julung kalinya, kerajaan akan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia pada tahun 2022 berjumlah RM8.2 bilion yang dijangkakan akan memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta penerima. Ini satu jumlah yang cukup besar yang mana sebanyak RM2,000 akan disalurkan kepada isi rumah yang memiliki tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.  Dengan jumlah yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini, pastinya dapat membantu golongan berpendapatan rendah menjalani kehidupan yang lebih selesa pada tahun hadapan.

Kerajaan juga mengumumkan inisiatif melalui Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) bagi menyedia sebanyak 600,000 peluang pekerjaan.  Ini satu inisiatif yang cukup baik bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat pekerjaan pada tahun hadapan.  Peluang pekerjaan yang lebih baik akan membolehkan rakyat Malaysia menjana pendapatan untuk kelangsungan kehidupan mereka. Ramai rakyat Malaysia yang tersepit dengan pelbagai masalah yang berpunca daripada kesempitan hidup dek kerana masalah kewangan yang dialami mereka sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Antaranya melibatkan masalah mental. Maka, dalam hal ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi menangani isu kesihatan mental rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tidak boleh sekadar kelihatan sihat dari segi fizikal tetapi juga paling penting sihat dari segi mentalnya agar dapat meneruskan kehidupan yang benar-benar sihat. Ini sekali gus akan menyumbang kepada pelbagai manfaat kepada negara. Antaranya, akan meningkatkan produktiviti para pekerja dan seterusnya meningkatkan keuntungan syarikat. Sekali gus akan menyumbang pendapatan secara tidak langsung kepada kerajaan melalui kutipan cukai yang lebih tinggi.  Malah, kesihatan mental yang baik akan menangani pelbagai masalah sosial dalam masyarakat Malaysia. Maka, dengan itu, kerajaan amat memberi penekanan terhadap kesihatan mental dalam Bajet 2022 ini.

Dalam aspek pendidikan pula, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sebagai penerima tertinggi dalam Bajet 2022, sebanyak RM150 akan disalurkan kepada murid pada awal tahun hadapan.  Bantuan Awal Persekolahan ini akan memberi manfaat kepada tiga juta murid yang layak bagi membolehkan mereka meneruskan pelajaran dalam suasana yang kondusif. Wang tersebut sedikit sebanyak boleh digunakan untuk pembelian pelbagai barangan persekolahan.

Secara keseluruhannya, Bajet 2022 memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia. Meskipun peruntukan Bajet 2022 kali ini akan meningkatkan defisit fiskal negara, namun kerajaan tidak boleh terlalu “kedekut” dalam memacu ekonomi negara dan paling utama membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan seharian mereka dalam suasana yang begitu perit pada masa kini.  Pastinya, kerajaan telah membuat penilaian dan kajian secara mendalam terhadap kemampuan kerajaan memperuntukkan sejumlah wang tertinggi dalam Bajet 2022.

Sudah tentulah, kerajaan mengetahui kemampuan sebenar kerajaan membayar semula hutang-hutang kerajaan dalam tempoh yang sepatutnya.  Yang penting, pengurusan kewangan kerajaan sentiasa berada pada tahap yang baik.  Malah, apa yang paling utama, pelaksanaan Bajet 2022 perlu dibuat dengan cekap dan berkesan tanpa adanya sebarang ketirisan bagi membolehkan setiap keluarga Malaysia menikmati kebaikan daripada Bajet 2022. Sekali gus, membolehkan nasib setiap Keluarga Malaysia benar-benar terbela.

Profesor Madya Dr. Rohami Shafie
Pengarah
Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD)
Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM)
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast