AMPANG – Isu kemiskinan haid yang dihadapi oleh remaja wanita di negara ini memerlukan satu penyelesaian jangka panjang, kata Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Wan Azizah, walaupun kemiskinan haid sering dianggap sebagai ‘taboo’ dalam kalangan masyarakat namun ia merupakan masalah nyata yang dihadapi pada masa kini akibat kekangan kewangan.
“Kita kena fikir bagaimana untuk menangani masalah ini secara jangka panjang iaitu dengan menyediakan tuala wanita dengan harga mampu milik atau lebih murah terutamanya untuk golongan yang terjejas teruk ketika pandemik Covid-19.
“Seperti situasi di India, kita lihat bagaimana mereka buat turunkan harga tuala wanita dan bagaimana diajar wanita-wanita desa ini untuk buat sendiri tuala wanita.
“Oleh sebab itu, kita kena tolong, tak boleh terus bagi macam itu sahaja, seperti mana saya katakan ada program di mana NGO bekerjasama dengan pihak dari Indonesia dan India untuk hasilkan tuala wanita ini secara lebih murah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas sambutan Hari Warga Emas Pangsapuri Hospital Ampang di sini hari ini.
Dalam masa sama, bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menyambut baik dan mengalu-alukan langkah kerajaan dalam menangani isu kemiskinan haid membabitkan remaja wanita menerusi pembentangan Belanjawan 2022 pada Jumaat lalu.
Kata Wan Azizah, kerajaan akhirnya mendengar masalah yang telah membelenggu golongan wanita dalam kelompok B40 sejak sekian lama.
“Sebelum ini pun saya pernah bertemu NGO dikenali sebagai Bidadari yang sering mengenengahkan isu ini dengan memberi gambaran bahawa masalah ini perlu ditangani, jadi kerajaan telah mendengar.
“Ini juga adalah satu inisiatif yang baik dan apa yang saya bersama NGO bincangkan adalah kita bukan bagi sahaja (tuala wanita) kerana ia akan habis tapi kita kena fikir untuk tangani nya secara jangka panjang,” ujarnya.
Tambah Wan Azizah lagi, tuala wanita merupakan satu keperluan asas bagi remaja perempuan yang sedang meningkat dewasan.
Jelasnya, apabila ada remaja yang menggunakan bahan lain sebagai gantian kepada tuala wanita, dikhuatiri ia akan memberi kesan terhadap tahap kesihatan mereka.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam Bajet 2022 pada Jumaat lalu mengumumkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Jabatan Penjara akan mengedarkan secara percuma kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130,000 remaja daripada keluarga B40. – MalaysiaGazette