KUALA LUMPUR – Bersempena dengan Hari Alam Sekitar Negara yang jatuh pada 21 Oktober setiap tahun, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) telah menganjurkan Hari Alam Sekitar@UTHM-KCP 2021 pada 12 hingga 23 Oktober lalu.
Menurut Pengarah Program, Ts. Dr. Roslinda Ali beberapa aktiviti telah diadakan sepanjang HAS@UTHM-KCP 2021 berlangsung.
Aktiviti pertama yang bermula pada 12 hingga 22 Oktober menuntut warga kampus untuk menghantar poster mereka menjalankan aktiviti seharian tanpa melibatkan penggunaan plastik sekali guna.
“Kempen bebas plastik ini adalah sebagai langkah awal untuk memberi pendedahan kepada warga kampus mengurangkan kebergantungan mereka terhadap penggunaan plastik dalam aktiviti seharian.
“Poster-poster yang terpilih dijadikan tayangan video bagi tujuan pendidikan dan kesedaran,” katanya.
Tambah beliau, aktiviti kedua berlangsung pada 21 Oktober dengan mengadakan Hari Kitar Semula @UTHM Pagoh 2.0. bersama dengan pihak SWM.
“Barangan kitar semula yang dikumpul oleh warga Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) telah dikutip untuk dikitar semula.
“Selain itu, taklimat mengenai amalan bebas plastik turut diberikan kepada para peniaga di kafeteria kampus dan kolej kediaman UTHM Pagoh.
“Melalui taklimat tersebut, peniaga diberikan risalah dan penerangan bagaimana untuk menjalankan perniagaan mereka tanpa menggunakan plastik sekali guna,” katanya.
Sementara itu, kempen mengenai amalan pengurusan sisa dengan kaedah yang betul dan amalan 3R turut dipanjangkan kepada penduduk komuniti di Panchor, Muar melalui program sembang santai bersama komuniti.
Wakil dari SWM, Muhamad Bakhtiar Azni telah memberikan taklimat berkaitan kepentingan penjagaan alam sekitar diikuti dengan demonstrasi ringkas oleh Ts. Dr. Roslinda Ali dari FTK tentang pengasingan sisa di punca dengan kaedah yang betul.
Manakala aktiviti #JomKitaPlogging yang diadakan di pekan Panchor, Muar pada 23 Oktober lalu menjadi kemuncak kepada penganjuran program ini.
Seramai 20 pelajar telah mengambil bahagian dalam aktiviti plogging dan audit sisa.
“Mereka dibekalkan dengan beg terbiodegradasi dan penyepit untuk mengutip sisa pepejal di sekitar pekan Panchor dan terus menjalankan audit sisa ke atas sisa pepejal yang telah dikutip.
“Selain plogging, sungai Panchor turut dibersihkan melalui pemasangan eco-trap yang merupakan projek rintis sekumpulan penyelidik dari FTK,” tambah beliau.
Majlis penutup HAS@UTHM-KCP 2021 pula telah diadakan pada hari yang sama dan disempurnakan oleh Provost UTHM Kampus Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa. – MalaysiaGazette